Guan Eng nafi isi borang DAP syarat dapat saguhati

Diterbitkan: Khamis, 25 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PULAU PINANG: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menafikan dakwaan bahawa warga emas di negeri ini diminta mengisi borang pemberian saguhati tetapi disyaratkan supaya menjadi anggota DAP.

Lim yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, pihaknya tidak pernah meletakkan syarat seperti itu dan borang berkenaan juga tidak memerlukan warga emas menyatakan keangotaan mana-mana parti bagi mendapatkan saguhati berkenaan.

Katanya dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim berhubung perkara itu dilihat berunsur fitnah ke atas kerajaan negeri.

"Beliau (Azhar) jangan buat tohmahan atau fitnah yang melampau seperti ini kerana borang pendaftaran berkenaan tidak ada kaitan langsung dengan DAP dan ia dikeluarkan dengan lambang kerajaan negeri dan bukan lambang roket (DAP)," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Lim berkata beliau mahu Azhar membuktikan dakwaannya seperti yang dilaporkan media hari ini mengenai perkara itu atau menarik balik dan memohon maaf jika tidak dapat membuktikannya.

Sementara itu, Lim berkata kerajaan negeri akan membantu 300 penduduk Kampung Lorong Buah Pala di sini yang terpaksa mengosongkan kediaman mereka selepas gagal mendapatkan kebenaran untuk mengemukakan rayuan terhadap perintah Mahkamah Rayuan sebelum ini.

"Satu jawatankuasa telah ditubuhkan diketuai Timbalan Ketua Menteri I, Mansor Othman bagi membantu dan mencari jalan penyelesaian penduduk kampung berkenaan," katanya.

Semalam, usaha 45 keluarga penduduk kampung berkenaan untuk terus mempertahan kampung mereka menemui penghujungnya apabila terpaksa mengosongkan kediaman selepas usaha untuk mendapat kebenaran mengemukakan rayuan terhadap perintah Mahkamah Rayuan hari ini ditolak Mahkamah Persekutuan.

Hakim Datuk Seri S. Augustine Paul, Datuk Hashim Yusoff dan Datuk Wira Mohd Ghazali Mohd Yusoff sebulat suara menolak permohonan mereka bagi mendapatkan kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memihak kepada pemaju.

Dalam perkembangan lain, Lim berkata kerajaan negeri menganjurkan pertandingan merekacipta Maskot CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus) dengan peserta hanya boleh menghantar satu rekacipta dan perlu memilih sejenis binatang daripada keluarga kucing yang dapat menggambarkan imej Pulau Pinang.

"Seramai tiga pemenang akan dipilih dan setiapnya akan terima wang tunai RM1,000, manakala karya pemenang yang dipilih sebagai maskot CAT akan menerima hadiah wang tunai tambahan RM1,000," katanya.

Tarikh tutup pertandingan adalah pada 31 Julai ini dan peserta yang berminat boleh menghubungi 046505112 atau emel sebarang pertanyaan kepada thingsiewshuen@penang.gov.my. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan