Politik wang: Hasil siasatan babitkan pencalonan Ali Rustam dihalusi SPRM

Diterbitkan: Rabu, 24 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pencalonan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam bagi jawatan Timbalan Presiden Umno sedang diperhalusi Bahagian Perundangan dan Pendakwaan badan tersebut. "SPRM ada menjalankan dua kes siasatan terhadap pihak-pihak tertentu yang dikatakan terlibat dalam pemberian wang rasuah dengan tujuan mencalonkan Datuk Seri Ali Rustam sebagai Timbalan Presiden Umno pada Persidangan Umno Bahagian Rendang yang diadakan pada 8 November 2008. "Kedua-dua kes siasatan telah diselesaikan dan kertas siasatan telah dikemukakan kepada Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM untuk keputusan dan arahan lanjut," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dalam jawapan bertulis hari ini. Ahli Parlimen Padang Serai (PKR) mengemukakan soalan tentang status kes rasuah melibatkan Ketua Menteri Melaka itu. Ali telah dilucutkan kelayakan bertanding jawatan Timbalan Presiden Mac lalu. Nazri berkata, satu lagi siasatan ialah terhadap tohmahan mengenai pemberian sogokan kepada Ketua Cawangan dan perwakilan Umno cawangan Rendang untuk menyokong dan mengundi Ali sebagai Timbalan Presiden Umno telah diputuskan tiada tindakan lanjut. Oleh itu, kes tersebut telah ditutup pada 25 Mei lalu, kata Nazri.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan