H1N1: Dua sekolah lagi ditutup

Diterbitkan: Rabu, 24 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Dua buah sekolah lagi ditutup semalam menjadikan kesemuanya empat sekolah dengan jumlah kes meningkat kepada 68 berikutan penularan tempatan Influenza A (H1N1).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican hari ini berkata Seri Cempaka International School di Cheras ditutup sehingga Sabtu ini manakala Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Assunta 1 di Petaling Jaya ditutup selama seminggu.

Dua hari lepas, Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Jalan Davidson, Kuala Lumpur dan SRK Assunta 2 di Petaling Jaya ditutup seminggu kerana penularan tempatan selesema babi.

Tiga sekolah lain iaitu SMK Damansara Utama, Petaling Jaya, SMK Seksyen 9 Shah Alam dan SM Wangsa Maju Seksyen 2, Kuala Lumpur kekal dengan penutupan satu kelas bagi tempoh tujuh hari.

"Kes 62, seorang pelajar lelaki warganegara Malaysia berumur 16 tahun, kontak kepada kes ke-42 adalah pelajar Sekolah Seri Cempaka International School.

"Beliau mengalami demam, batuk dan sakit tekak pada 20 Jun dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada 21 Jun dan disahkan positif kelmarin.

Beliau merupakan kes jangkitan tempatan kelapan dan sehubungan itu, telah terdapat dua kes positif di kalangan pelajar di sekolah tersebut," katanya kepada pemberita di sini.

Mohd Ismail berkata 10 kes baru H1N1 yang dilaporkan, membabitkan pelajar sekolah Seri Cempaka International School itu, dengan dua kes tempatan, dan lapan kes import.

Katanya jumlah keseluruhan kes adalah sebanyak 68 kes, iaitu 59 kes import dan sembilan kes jangkitan tempatan.

Kes-kes import terdiri daripada lima kes import warganegara Malaysia dan tiga bukan warganegara iaitu masing-masing seorang warga Yaman, Switzerland dan Itali.

Berikutan penularan wabak itu di sekolah, beliau berkata setiap sekolah mungkin perlu mengadakan "imbasan dalaman" di sekolah dengan menggalakkan guru-guru memeriksa pelajar mereka yang demam.

Katanya keputusan berhubung cadangan itu dan kaedah mengenainya akan diketahui selepas mesyuarat jawatankuasa teknikal menangani wabak itu yang akan membincangkan lebih lanjut mengenai langkahlangkah yang perlu diambil di sekolah agar terkawal, bersidang esok.

Dr Mohd Ismail berkata pelajar yang berkunjung ke negara-negara seperti Filipina, United Kingdom, Australia dan Amerika Syarikat juga akan dinasihatkan "selfquarantine" dan tidak pergi ke sekolah selama tujuh hari.

"Selepas balik daripada negara-negara berkenaan, mereka dinasihatkan "selfquarantine" bermakna tidak pergi ke mana-mana selama tujuh hari bagi mengelak berlakunya penularan tempatan wabak itu," katanya.

Mohd Ismail turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyembunyikan maklumat berhubung kontak yang dibuat oleh mereka yang positif wabak itu kerana mereka boleh dikenakan tindakan jika tidak memberi maklumat yang lengkap.

Katanya ini penting bagi memastikan tidak ada penularan tempatan H1N1 yang begitu banyak.

Sementara itu, beliau berkata 10 kes baru itu, iaitu kes ke-59 membabitkan kanak-kanak perempuan warga Malaysia, berumur lima tahun 9 bulan, balik ke Malaysia dari San Francisco, Amerika Syarikat tiba di KLIA pada 19 Jun lalu tanpa sebarang simptom.

Katanya beliau mengalami demam, sakit tekak dan batuk pada 21 Jun, dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada hari yang sama, dan keesokan harinya, telah disahkan positif H1N1 sebagai kes import.

Mohd Ismail berkata kes ke-60 dan ke-61, membabitkan warga Malaysia, seorang pelajar perempuan berumur 14 tahun dan seorang lelaki berumur 23 tahun.

Katanya pelajar itu tiba di Malaysia dari Melbourne pada 18 Jun lalu, mula mengalami simptom pada 20 Jun dan telah mendapatkan rawatan awal di Sime Darby Medical Centre Subang pada 21 Jun lalu.

Katanya beliau telah dirujuk ke Hospital Sungai Buloh pada 21 Jun dan disahkan positif pada keesokan harinya manakala lelaki itu yang tiba di Malaysia pada 19 Jun dan meneruskan perjalanan ke Kuching pada hari yang sama, mula sakit pada 20 Jun dan dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada 21 Jun dan disahkan positif pada keesokan harinya sebagai kes import.

Beliau berkata kes ke-63, seorang lelaki warganegara Yaman berumur 24 tahun, bertolak dari Bangkok ke Malaysia pada 19 Jun, mula mengalami demam dan batuk pada 20 Jun, mendapatkan rawatan awal di Damansara Specialist Hospital pada 21 Jun dan esoknya, dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan disahkan positif pada hari yang sama.

Katanya kes ke-64 pula, seorang lelaki berumur 54 tahun warganegara Switzerland, ke Malaysia bersama isteri, tiba di KLIA pada 21 Jun, mula mengalami demam dan batuk mulai 18 Jun dan telah dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban pada 22 Jun dan disahkan positif pada hari yang sama.

Mohd Ismail berkata kes ke-65, seorang pelajar lelaki berumur 19 tahun warganegara Itali, tamat belajar di Melbourne selama tiga bulan, tiba di KLIA pada 21 Jun, mula mengalami demam, batuk dan sakit kepala pada 21 Jun, dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban pada 22 Jun dan disahkan positif pada hari yang sama.

Katanya kes ke-66, seorang pelajar lelaki warganegara Malaysia berumur 11 tahun, merupakan kontak kepada kes ke-36 iaitu pelajar SRJK (C) Jalan Davidson, Kuala Lumpur, iaitu pada 20 Jun mula mengalami demam, batuk dan sakit tekak, dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada 22 Jun dan disahkan positif pada hari yang sama dan beliau merupakan kes jangkitan tempatan ke-9.

Beliau berkata kes ke-67 dan ke-68, membabitkan seorang budak perempuan berumur lima tahun lapan bulan, menetap di Manila dan kembali ke Malaysia, dan seorang lelaki, berumur 42 tahun, telah pergi ke Manila. Kedua-duanya adalah warganegara Malaysia.

Katanya budak itu bersama ibunya kembali ke Malaysia pada 20 Jun, menyambung perjalanan ke Pulau Pinang, mula mengalami simptom mulai 21 Jun, dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang pada 22 Jun dan disahkan positif pada hari yang sama.

Katanya lelaki itu pula, tiba di Malaysia pada 18 Jun, pulang ke Pulau Pinang dengan memandu kereta, mula sakit pada 21 Jun dan dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang pada 22 Jun, disahkan positif pada hari yang sama sebagai kes import.

Beliau berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan sehingga jam 8 pagi ini, jumlah terkumpul kes H1N1 yang dilaporkan adalah sebanyak 52,687 kes dengan 231 kematian daripada 99 negara, iaitu pertambahan 7,709 kes.

Katanya negara yang melaporkan pertambahan kes tertinggi adalah USA (3,594), Chile (1,190), Kanada (805), United Kingdom (754) dan Australia (297).

DI KUALA LUMPUR, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pihaknya masih dapat mengawal keadaan kerana dapat mengesan kontak dalam keskes yang dilaporkan.

Bagaimanapun, beliau meminta orang ramai supaya memberi kerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa bagi membasmi wabak itu.

Kerajaan tidak dapat menangani wabak tersebut secara bersendirian dan orang ramai boleh memainkan peranan dengan mengamalkan langkah-langkah pencegahan yang telah diuar-uarkan kerajaan selama ini, katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

"Harap rakyat dapat memberi respons dan kerjasama kepada seruan-seruan dan langkah-langkah yang dijalankan Kementerian Kesihatan, untuk memastikan kita dapat tangani wabak ini secara bersama," katanya.

Liow berkata kementerian juga akan memperkenal langkah-langkah baru dalam menangani wabak tersebut termasuk mengadakan 'saringan dalaman' di sekolah-sekolah dan melihat semula bagaimana 'kuarantin di rumah' dapat dijalankan dengan lebih efektif. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan