Muhyiddin: Hasil kajian PPSMI diumum awal Julai

Diterbitkan: Selasa, 23 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Hasil kajian secara menyeluruh mengenai dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan diumum awal bulan depan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kajian sudah sampai peringkat akhir dan awal Julai akan buat pengumuman menyeluruh," kata beliau yang juga Menteri Pelajaran ketika menjawab soalan tambahan Dr. Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) di Dewan Rakyat hari ini.

Kata Muhyiddin, beliau juga akan mengumumkan langkah-langkah mengatasi masalah ekoran pelaksanaan PPSMI, antaranya penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar kawasan bandar dan luar bandar.

Ketika menjawab soalan asal enam anggota Dewan Rakyat, Muhyiddin memberi jaminan "keputusan yang akan diambil oleh kerajaan berhubung dengan dasar PPSMI akan memberi kebaikan kepada murid, guru dan masa depan negara."

"Analisis menyeluruh dan kertas mengenai hala tuju PPSMI sudah pun siap dan insya-Allah, dalam masa terdekat, kertas ini akan dibentangkan kepada jemaah menteri untuk mendapatkan keputusan muktamad mengenainya.

"Apa sahaja keputusan yang dibuat, biarlah ia untuk kebaikan rakyat selari dengan gagasan rakyat didahulukan sepertimana dihasratkan oleh Perdana Menteri," katanya.

Dalam pada itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, pihaknya mahu kerajaan memansuhkan PPSMI tanpa perlu menunggu laporan yang akan diumumkan bulan depan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, oleh kerana kenyataan Menteri Pelajaran menunjukkan ada banyak masalah berhubung pelaksanaan PPSMI, maka kerajaan mengambil tindakan pemansuhan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, Pakatan Rakyat berharap kerajaan akan membentangkan penerangan menteri mengenai PPSMI di Parlimen kelak.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan