Majlis Peguam serah memo insiden 5 peguam ditahan polis

Diterbitkan: Selasa, 23 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Majlis Peguam menyerahkan memorandum enam perkara kepada kerajaan berhubung insiden lima peguam ditahan polis 7 Mei lalu semasa hadir untuk membantu 'anak guaman' mereka.

Memorandum diserahkan oleh Presidennya, Ragunath Kesavan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di bangunan Parlimen.

Ragunath menjelaskan, memorandum itu merumuskan apa yang sebenarnya berlaku pada hari berkenaan dan syor-syor untuk menangani persoalan akibat isu berkenaan pada masa depan.

Majlis Peguam mahu kerajaan menetapkan protokol khusus membolehkan peguam akses kepada orang yang ditahan dan polis perlu menghormati mekanisme itu.

Nazri pula berkata, beliau akan menghalusi perkara-perkara yang dibangkitkan dalam memorandum tersebut dan akan mengambil tindakan-tindakan positif terhadap hal-hal berkaitan dengan portfolionya.

Ketika ditanya sama ada akan memohon maaf terhadap kejadian itu, Nazri berkata, perkara itu perlu ditanya kepada menteri berkaitan.

Bagaimanapun kata Nazri, beliau akan memanjangkan memorandum berkenaan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Apabila ditanya bila akan menemui Hishammuddin, Nazri memberitahu, beliau akan mengadakan pertemuan "esok."

"Hanya satu panggilan jauh," katanya di lobi Parlimen.

Lima peguam ditahan di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di sini awal bulan lalu kerana dikatakan terlibat dalam satu perhimpuan haram.

Lima peguam itu merupakan antara 20 orang iaitu 11 lelaki dan sembilan perempuan yang ditahan polis semasa mengadakan upacara membakar lilin di hadapan IPD Brickfields.

Kesemua mereka diambil tindakan mengikut Seksyen 27 Akta Polis 1967 dan undang-undang berkaitan.

Ragunath sebelum ini ada memberitahu bahawa Majlis Peguam akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa pada 15 Mei bagi membincangkan perkara itu.

Lima peguam yang ditahan itu adalah daripada bantuan perundangan Kuala Lumpur iaitu Pengerusinya, Ravinder Singh Dhalliwal, Fadiah Nadwa Fikri, Syuhaini Safwan, Puspawati Rosman dan Murnie Hidayah Anuar.

Mengulas lanjut, Ragunath berkata, pertemuan dengan Nazri hari ini adalah positif tetapi perlu diambil tindakan terhadap perkara-perkara penting yang dibangkitkan.

“Menteri memberi jaminan kepada Majlis Peguam bahawa kerajaan akan memberi keutamaan kepada soal keluhuran perundangan dan saya berharap tindakan akan diambil untuk mengelakkan kejadian yang sama berulang," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan