Kerajaan nafi program BTN bersifat perkauman

Diterbitkan: Selasa, 23 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini menafikan dakwaan bahawa Biro Tatanegara (BTN) terlalu menekankan hak rakyat berasaskan perkauman sempit sehingga menyebabkan perpecahan antara kaum.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata BTN, sejak penubuhannya pada 1981, melaksanakan program yang menepati objektif utama iaitu memupuk semangat patriotisme, membina sikap berteraskan nilai murni dan penghayatan cintakan negara di kalangan warganegara.

"Terkini, BTN juga akan menumpu peranan kepada penerapan semangat gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Ngeh ingin tahu sejauh mana kebenaran dakwaan itu, seperti yang tersiar dalam surat khabar The Star pada 22 Mei lepas, bahawa BTN terlalu menekankan hak rakyat berasaskan perkauman hinggakan ia menyebabkan perpecahan antara kaum.

Najib berkata BTN berperanan dalam mempertingkatkan komitmen rakyat kepada wawasan dan usaha ke arah kecemerlangan negara serta mempersiapkan rakyat supaya menunjangi dasar negara ke arah pembangunan demi kesejahteraan bangsa.

"Setiap maklumat yang disampaikan kepada peserta kursus adalah berasaskan kepada fakta sejarah dan tidak menyentuh sentimen perkauman secara sempit.

Beliau berkata peserta program diberi kebebasan untuk menyatakan pandangan, idea serta pendirian semasa mengikuti program BTN dan tidak timbul langsung soal memperkecil dan memburukkan kaum bukan Melayu kerana perkara yang disampaikan berkaitan dengan Perlembagaan Persekutuan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan