132 penumpang penerbangan MH2504 diminta hubungi Jabatan Kesihatan Sarawak

Diterbitkan: Selasa, 23 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Kesemua 132 penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAs) MH2504 dari Kuala Lumpur ke lapangan terbang Antarabangsa Kuching pada 10.15 pagi Jumaat lepas diminta menghubungi Jabatan Kesihatan negeri dengan segera.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr George Chan hari ini berkata mereka termasuk 28 penumpang yang menduduki tiga barisan kerusi di bahagian depan dengan pelajar universiti lelaki berumur 23 tahun yang didapati positif Influenza A (H1N1) semalam, duduk di belakang.

Pelajar dari Melbourne Swinburne University itu kini beransur pulih selepas dirawat di wad isolasi di Hospital Umum Sarawak (HUS) Ahad lepas.

Beliau tiba dengan penerbangan awal dari Melbourne, Australia ke Kuala Lumpur pada Jumaat.

Dr Chan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bantuan Bencana Negeri berkata mereka perlu menghubungi jabatan kesihatan dengan segera bagi mengekang penularan tempatan.

Terdapat 12 kru penerbangan dalam pesawat yang sama.

Beliau berkata ibu bapa, abang dan rakan pelajar itu kini diletakkan dalam program pengasingan di rumah.

"Setakat ini, kami dapat mengesan 15 daripada 28 penumpang itu dan telah menempatkan mereka dengan segera di bawah program pengasingan di rumah seperti yang dikehendaki di bawah peraturan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya empat daripada 15 penumpang dari Kuching juga telah dikuarantinkan manakala dua dari Kuala Lumpur, tujuh dari Selangor dan masing-masing satu dari Kelantan dan Pahang telah pun pulang ke negeri masingmasing.

Dr Chan berkata pihaknya telah menghubungi pihak berkuasa kesihatan negeri berkenaan bagi mengesan baki penumpang itu.

Sejak Mei tahun ini, sejumlah 411,615 penumpang memasuki negeri ini melalui beberapa lapangan terbang, pelabuhan dan pintu masuk termasuk di Kuching, Miri, Sibu, Tanjung Manis dan Tebedu, dan telah mengisi borang pengisytiharan kesihatan, katanya.

Setakat ini, pihak berkuasa telah menempatkan 13 klinik H1N1 bagi memudahkan orang ramai memeriksa status kesihatan untuk kes seperti selesema atau mendapatkan bantuan perubatan di wad isolasi HUS. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan