Satelit MEASAT3A berjaya dilancar dari Baikonur Cosmodrome

Diterbitkan: Isnin, 22 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BAIKONUR (Kazakhstan): Satelit terbaru Malaysia, MEASAT3a berjaya dilancarkan dari Baikonur Cosmodrome mengikut jadual pada pukul 5.50 pagi waktu Malaysia di sini pada Isnin.

Satelit komunikasi bernilai AS$165 juta itu yang dilancarkan dalam cuaca sejuk dan berangin, adalah bagi meningkatkan lagi kapasiti satelit Measat Satellite Systems Sdn Bhd.

Syarikat itu kini mempunyai empat satelit di orbit. Perbezaan masa antara Kazakhstan dan Malaysia adalah dua jam yang bermakna satelit itu dilancarkan di Baikonur pada pukul 3.50 pagi.

MEASAT3a sepatutnya dilancarkan pada Ogos tahun lepas tetapi kemalangan kren merosakkannya semasa persediaan untuk pelancaran dan terpaksa dibawa kembali ke Dulles di Washington untuk dibaiki.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, yang mengetuai kumpulan 50 anggota menyaksikan pelancaran satelit keempat Measat itu gembira dengan kejayaan tersebut dan menyifatkannya sebagai satu lagi peningkatan kemampuan penyiaran Malaysia.

Mereka yang menyaksikan pelancaran itu kagum dengan tenaga roket yang membelah angkasa dan secara spontan bertepuk tangan sebaik pelancaran.

Rais berkata ini merupakan kali pertama beliau menyaksikan pelancaran satelit.

Bakal beroperasi pada Julai, MEASAT3a akan menggantikan MEASAT1 yang dijadualkan tamat operasinya pada 2015.

Satelit MEASAT3a dilancarkan ke orbit oleh pengangkut pelancar Zenit3SLB bagi perjalanannya sehingga lokasi akhir pada 91.5 darjah Longitud Timur.

Rais berkata beliau berbangga dengan kejayaan pelancaran satelit berkenaan memandangkan ia akan membantu meningkatkan kedudukan Malaysia dalam perniagaan satelit antarabangsa serta penyiaran.

Ia juga akan meletakkan satu asas bagi rakyat Malaysia sendiri untuk mereka bentuk, mewujudkan dan mengeluarkan satelit mereka sendiri di masa depan dan tidak bergantung kepada pihak lain atau terhad kepada membuat komponen sahaja, katanya.

Beliau juga menyifatkan kejayaan pelancaran itu sebagai satu rangsangan kepada industri kreatif Malaysia.

"Ini merupakan satu lagi kejayaan hebat bagi MEASAT, dan untuk industri angkasa Malaysia. Dengan pelancaran satelit komunikasi keempat Malaysia ini, kita melihat minat yang lebih mendalam dalam teknologi angkasa di kalangan rakyat Malaysia. "Kita juga berharap pelancaran ini akan memberi kelebihan teknolgi terkini kepada Malaysia dan peneraju dalam teknologi angkasa dan komunikasi satelit," kata Rais.

Pelancaran satelit MEASAT3a seberat 2,417 kilogram yang disaksikan sekumpulan rakyat Malaysia di kawasan gurun di Kazakhstan, beberapa kilometer dari tapak pelancaran, disiarkan secara langsung di Awani, saluran 501 Astro.

Antara yang menyaksikan pelancaran itu ialah Ketua Pegawai Operasi Measat, Paul BrownKenyon, Peguam Korporat Measat Farah Suhanah Ahmad Sarji dan ketua pegawai eksekutif kumpulan Telekom Malaysia Bhd (TM) Datuk Zam Zamzairani Mohd Isa.

BrownKenyon berkata satelit baru itu penting dalam menyokong pertumbuhan berterusan syarikat.

"Kami berbangga melihat kerja keras yang dilakukan pasukan kejuruteraan kami dan mereka di Orbital Sciences, Intelsat dan SeaLaunch, membuahkan hasil dengan kejayaan pelancaran satelit itu hari ini."

"Dengan selesainya ujian dalam orbit, satelit itu akan menyediakan rangsangan ketara kepada kemampuan rangkaian kami, membolehkan pengembangan perniagaan berterusan di Malaysia, Asia Pasfik dan Afrika," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Astro TV, Rohana Rozhan berkata Astro teruja dengan pelancaran satelit MEASAT3a itu memandangkan ia berhasrat untuk kekal menyediakan pilihan yang lebih lagi kepada 2.7 juta penonton dan pelanggan yang semakin bertambah.

Kemampuan baru MEASAT3a akan membolehkan Astro melakukan inovasi terhadap produk dan perkhidmatan dari segi kandungan dan teknologi, kata Rohana dalam satu kenyataan.

Apabila digunakan selepas selesainya ujian dalam orbit, yang dijangka akhir Julai 2009, MEASAT3a akan memperluaskan kapasiti pada lokasi orbit utama MEASAT pada 91.5E sebanyak 50 peratus dengan menyediakan 24 transponder tambahan kepada 48 transponder yang disediakan oleh MEASAT3.

Satelit baru itu direka bentuk untuk menyokong pertumbuhan berterusan perkhidmatan Penyiaran dan Telekomunikasi teruskerumah (DTH) syarikat.

Pelancaran MEASAT3a, yang dikeluarkan oleh Orbital Sciences Corp of Dulles, Amerika Syarikat itu juga menjadi satu peristiwa yang tidak boleh dilupakan bagi 14 pelajar cemerlang dari Malaysia, India, Indonesia, Filipina dan United Kingdom

Mereka dipilih oleh Measat untuk mengalami satu peluang sekali dalam seumur hidup.

Antara pelajar itu ialah lima pelajar Malaysia yang mendapat keputusan cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2007. Ia merupakan satu impian yang menjadi kenyataan bagi Ahmad Ruiz Mohd Asri dari Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur; Edmund Chen Min Lau dari Kuching, Sarawak; Lina Na'ilah Abdul Talip dari Kajang; Chandra Sekhar Kuppusamy dari Johor Baharu, dan Cliff Asher R. Ongil dari Beaufort, Sabah. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan