PAS-Umno: Hadi diberi taklimat malam tadi, mesyuarat khas hari ini

Diterbitkan: Isnin, 22 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Tumpuan isu pembentukan kerajaan perpaduan memasuki minggu ketiga hari ini dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang diberikan taklimat tentang perkembangan semasa oleh pemimpin-pemimpin kanannya malam tadi.

Taklimat malam tadi berlangsung menjelang dua pertemuan penting hari ini iaitu mesyuarat kepimpinan Pakatan Rakyat dan mesyuarat khas Jawatankuasa Pusat PAS malam ini.

Di sebalik pertemuan itu, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dijangka bertemu dengan Hadi dan Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa.

mStar Online difahamkan Hadi yang pulang dari London malam tadi, telah mengadakan pertemuan dengan Nasharudin dan Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali.

Pertemuan itu diadakan di rumah timbalan presiden dekat ibu negara.

Mustafa ketika dihubungi pagi tadi mengesahkan ada menemui Hadi untuk memaklumkan perkembangan semasa.

"Ya ada, tapi dah lewat... nanti kita akan bincangkan dalam mesyuarat (malam ini)," kata beliau dengan ringkas.

Difahamkan pertemuan Hadi dengan Nasharudin, Mustafa dan beberapa pemimpin lain berlarutan lebih dua jam.

Perkembangan politik tanah air sejak dua minggu lalu menjurus kepada isu berkaitan dengan pembentukan kerajaan perpaduan yang pertama kali dilontarkan oleh Hadi hujung tahun lalu.

Ia mendapat perhatian semula sejak Muktamar Tahunan PAS Ke-55 awal bulan ini apabila Hadi menyatakan kesediaan untuk berbincang dengan Umno-BN.

Umno juga menyatakan kesediaan untuk mengadakan perbincangan dengan PAS berhubung idea membentuk kerajaan perpaduan.

Tengah hari ini Pakatan Rakyat akan mengadakan mesyuarat kepimpinan tertinggi ikatan itu.

Pertemuan itu yang akan dihadiri pemimpin-pemimpin kanan Pakatan Rakyat dijangka memfokus isu kerajaan perpaduan.

"Pakatan akan mengadakan mesyuarat hari ini... saya selaku Setiausaha Agung akan hadir," kata Mustafa tetapi tidak menyatakan agenda khusus mesyuarat hari ini.

Pertemuan itu sepatutnya telah diadakan Isnin lalu tetapi ditunda ke hari ini kerana Hadi berada di luar negara.

Sebelum ini dua lagi komponen Pakatan Rakyat telah membantah idea Hadi itu.

Malah idea itu turut mendapat bantahan sebahagian ahli PAS termasuk Nik Abdul Aziz.

Mengenai mesyuarat Jawatankuasa Pusat malam ini, Mustafa berkata, tiada agenda khusus tetapi jika isu idea kerajaan perpaduan dibangkitkan ia akan dibincangkan.

"Tiada agenda khusus mesyuarat hari ini, mesyuarat biasa saja," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasharuddin Hassan Tantawi ketika dihubungi berkata, partinya mengadakan mesyuarat khas Jawatankuasa Pusat bagi membincangkan isu kerajaan perpaduan.

"Kita akan dengar dulu penjelasan Presiden dan kemudian kami (Pemuda) akan menetapkan pendirian... kami nak dengar dulu," kata beliau yang dipilih menerajui sayap pemuda itu awal bulan ini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan