Harapan Ketua Puteri Umno baru

Diterbitkan: Isnin, 22 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

DATUK Rosnah Abdul Rashid Shirlin merupakan Ketua Pergerakan Puteri Umno memenangi jawatan tersebut pada pemilihan parti Mac lalu. Beliau yang juga ahli Parlimen Papar, Sabah meneruskan tradisi apabila dilantik sebagai Timbalan Menteri Kesihatan dalam Kabinet Perdana Menteri keenam Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Temu bual bersama Rosnah bersama mStar Online baru-baru ini beliau menolak aspek politik berdasarkan konsep kenegerian kerana landskap politik negara telah berubah ke arah politik perdana.

Menurutnya, aspek kenegeriaan sudah tidak ada relevannya kerana semua pemimpin digarapkan dengan tanggungjawab untuk melaksanakan apa jua bentuk tangggungjawab yang bersifat nasional.

MSTAR: Setelah hampir sebulan Datuk memegang jawatan Ketua Puteri apakah perubahan pertama yang akan Datuk lakukan?

ROSNAH: Selepas sahaja Puteri melalui fasa pemilihan, lebih-lebih lagi ia merupakan kali pertama jawatan Ketua dan Naib Ketua dipertandingkan, sudah tentu ia mewujudkan perkumpulan-perkumpulan tertentu dalam pergerakan itu sendiri. Ini menyebabkan saya merasakan yang paling utama adalah menyatupadukan ahli-ahli pergerakan Puteri di peringkat akar umbi. Perkara ini perlu menjadi fokus yang paling utama untuk kita laksanakan sebelum kita memulakan perkara-perkara yang lain.

Saya menekankan kepada proses kita untuk menjadikan ahli-ahli Puteri di peringkat akar umbi dan seterusnya peringkat nasional supaya Pergerakan Puteri bergerak sebagai satu pasukan yang kuat. Ia merupakan prioriti ketika itu dan proses ini selepas sebulan kepimpinan Pergerakan Puteri yang baru menerajui kepimpinan Puteri itu sendiri.

Apabila kita mampu bergerak sebagai satu pasukan, kita mudah melaksanakan apa sahaja bentuk program, pendekatan serta pelaksanaan kita dari segi program-program yang dianjurkan dan memenuhi inspirasi golongan wanita Melayu yang muda. Jadi sudah tentu generasi muda yang bukan menjadi sebahagian daripada ahli melihat Puteri sebagai role model.

Pada masa yang sama, kita juga mahu Puteri dilihat sebagai tempat rujukan anak-anak muda untuk kebanyakan isu dan permasalahan mereka dapat diselesaikan oleh pergerakan ini. Jadi saya ingin membentuk pergerakan Puteri ke arah itu supaya ia terus relevan sebagai platform di mana suara wanita Melayu ini didengari bukan sahaja oleh pucuk pimpinan tetapi oleh masyarakat.

Saya juga akan meneruskan program-program yang melibatkan golongan muda secara langsung dan tidak langsung untuk mendekatkan mereka kepada Puteri dan juga kerajaan.

MSTAR: Cara terbaik yang Puteri akan lakukan untuk menarik semula sokongan golongan untuk menyokong Umno dan Barisan Nasional (BN) itu sendiri?

ROSNAH: Kita tidak dapat nafikan kerana di dalam Pergerakan Puteri sendiri hampir 70 peratus pemimpin di peringkat akar dipilih mengetuai barisan kepimpinan parti. Mereka ini terdiri daripada pemimpin-pemimpin muda yang diletakkan tanggungjawab untuk dan amanah yang cukup besar untuk menjadi penjana kepada usaha parti untuk mendekatkan golongan muda kepada Umno dan BN.

Antara cara-cara yang akan menjadi pendekatan Puteri untuk mengembalikan semula keyakinan golongan muda adalah dengan menjadikan mereka sebahagian daripada suara kita, dengan menjadikan mereka sebahagian daripada proses membuat keputusan yang menjana ke arah itu.

Ini kerana pada pilihan raya umum ke-13 nanti hampir 75 peratus pengundi akan terdiri daripada generasi muda yang berusia 40 tahun ke bawah. Jika kita tidak melibatkan diri dengan mereka secara langsung dalam apa jua bentuk melalui aktiviti kita, nescaya mereka ini semakin jauh tidak akan menjadi sebahagian pengundi yang memilih kerajaan sedia ada untuk memimpin mereka.

Kita berhadapan dengan situasi yang tidak kritikal tapi kita harus guna pendekatan yang baru dalam program-program yang dilaksanakan, di samping melibatkan golongan muda secara tidak langsung.

Saya ada membincangkan program-program dasar Pergerakan Puteri bersama-sama BN. Kita harus mengadakan pendekatan yang cukup baik dengan golongan profesional terutama sekali dalam bidang guaman, kedoktoran dan sebagainya. Saya melihat kita juga tidak hanya mendekatkan diri sebagai sahabat tetapi kita juga menjadi pendengar kepada permasalahan-permasalahan yang berlaku dalam profesion tersebut. Setelah kita memainkan peranan sebagai pendengar sudah pasti kita dituntut menjadi ejen kepada penyelesaian.

Saya menaruh harapan yang tinggi kepada Pergerakan Puteri untuk berperanan sebagai ejen tersebut bukan sahaja sebagai pendengar yang pasif tetapi juga menjadi ejen penyelesaian yang aktif untuk menyelesaikan permasalahan-permasalahan yang berlaku di kalangan generasi muda. Ini antara pendekatan yang akan kita jalankan dalam Puteri.

MSTAR: Ini kali pertama kali dipilih sebagai Timbalan Menteri dalam Kabinet, apakah perasaan Datuk ketika diberitahu mengenai berita itu?

ROSNAH: Perasaan yang sama apabila saya diumumkan sebagai Ketua Puteri Umno Malaysia. Perasaan saya bercampur di antara dengan penuh rasa keinsafan dan bimbang pada masa yang sama ada saya mampu melaksanakan tanggungjawab yang cukup besar diberikan kepada saya. Kerana amanah yang diberikan itu bukan satu amanah yang kecil kerana saya mewakili Pergerakan Puteri. Pada masa yang samam,saya juga memikirkan mengenai cabaran-cabaran yang akan dihadapi. Saya juga merasa bersyukur kepada Tuhan kerana atas kerusi yang saya duduki sebagai Ketua Puteri, kami telah diberikan satu penghargaan yang cukup besar oleh pucuk pimpinan untuk memegang jawatan Timbalan Menteri. Perasaan saya bercampur-campur, gembira bukan tidak gembira tapi kita melihat perkara itu sebagai satu amanah sudah tentu kita ada perasaan bimbang sama ada kita boleh melaksanakan tanggungjawab itu.

Saya suka berpijak di bumi nyata saya merasakan setiap tanggungjawab dan jawatan yang diberikan itu hadir dengan amanah yang besar kerana harapan ahli-ahli parti juga terletak dibahu kita. Bukan mudah untuk kita melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan.

MSTAR: Jika dilihat Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak memberi ruang yang lebih luas kepada pemimpin-pemimpin muda dalam Kabinetnya. Apa komen Datuk?

ROSNAH: Saya rasa kita melihat kepada pendekatan kempimpinan yang diterajui oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak memberi peluang yang saksama dan sewajarnya kepada golongan muda menunjukkan aspirasi beliau untuk membawa generasi muda ini bersama-sama dalam proses membuat keputusan dalam proses pentadbiran negara. Beliau mahu memperlihatkan bahawa golongan muda ini tidak pernah terpinggir dalam aspek pentadbiran.

Langkah yang diambil oleh Perdana Menteri ini menunjukkan beliau bukan sahaja mengambil risiko malah beliau memberi ruang dan kombinasi yang baik antara suara pemimpin lama dan baru untuk digarapakan bersama untuk membentuk satu pasukan yang kuat.

Saya rasa tindakan ini bukan sahaja dipuji malah harus dilihat sebagai pencetus kepada usaha kita untuk mebawa negara ke arah lebih progresif. Suara golongan muda diperlukan untuk memberikan suntikan idea-idea baru yang sesuai dengan zaman sekarang. Jika kita tidak melibatkan mereka dari sekarang kita mungkin akan dilihat tidak relevan pada pilihan raya umum ke-13 nanti. Namun atas usaha dan pendekatan yang dibawa oleh pucuk pimpinan menunjukkan kita ingin melihat keadaan politk dan sosial sekarang berubah selepas ini. Kita juga menaruh harapan yang besar kepada nakhoda kita Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak kerana mencetuskan idea kepada perubahan-perubahan sebegini.

MSTAR: Adakah Datuk melihat ini sebagai batu loncatan kepada pemimpin muda dalam BN dan Umno itu sendiri?

ROSNAH: Batu loncatan dari segi untuk membuat perubahan kepada suara dan tenaga orang muda diperlukan untuk melakukan proses transformasi ini. Saya tidak mengatakan golongan dewasa (pemimpin lama) tidak diperlukan sudah tentu mereka diperlukan kerana berlandaskan pengalaman dan kewibawaan dan pemikiran mereka yang bernas amat diperlukan. Mereka ini perlu dijadikan sebagai role model supaya kita tidak terkandas daripada landasan yang betul. Saya merasakan kita memerlukan kedua-duanya untuk membentuk gabungan yang mantap untuk memimpin negara.

MSTAR: Bagaimana Datuk melihat dasar kepimpinan yang telah dilaksanakan oleh Datuk Seri Najib dalam tempoh sebulan beliau menjadi Perdana Menteri? Sebagai contoh baru-baru ini beliau telah membebaskan 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kajian semula ISA. Adakah ini untuk mengembalikan kenyakinan rakyat kepada kerajaan BN?

ROSNAH: Saya melihat bahawa tindakan-tindakan yang telah diambil oleh Perdan Menteri dengan membebaskan tahanan ISA, dan melakukan perubahan-perubahan lain yang sewajarnya dalam sistem pentadbiran sepatutnya dilihat cukup positif. Selain daripada mengembalikan kenyakinan rakyat kepada BN ia juga menyediakan kita kepada keadaan yang lebih besar.

Ini bukan satu cabaran yang kecil kerana kita akan berhadapan dengan suasana ekonomi yang tidak menentu dan suasana politik yang masih kabur-kabur. Dalam masa yang sama kita juga tidak tahu sama ada kita akan kekal menjadi kerajaan pada pilihan umum yang akan datang.

Kita memerlukan kerajaan yang kuat dan kita memerlukan barisan kepimpinan yang ampuh dan lut kepada cabaran serta anasir-anasir yang boleh menyebabkan perpecahan lebih-lebih lagi dengan sikap pembangkang yang sering mencetuskan proganda untuk memecahbelahkan orang Melayu. Diharapkan dengan dasar-dasar yang diperkenalkan saya yakin kita mampu untuk menghadapi masalah ketidaktentuan yang berlaku dalam negara lewat kebelakangan ini.

MSTAR: Bagaimana Pergerakan Puteri melihat dan mentafsirkan konsep Satu Malaysia yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak baru-baru ini?

ROSNAH: Bagi kami di Pergerakan Puteri tidak ada perkara yang paling penting dalam parti BN bergerak, bercakap dan melaksanakan tindakan kita sebagai satu suara. Daripada majlis itulah kita tekankan pentingnya untuk menubuhkan Puteri BN supaya pemimpin Puteri yang ada di komponen BN, seperti MIC, MCA, PPP dan Gerakan bersama-sama bergerak bukan hanya dalam program malah menjiwai dan bertindak sebagai satu suara yang sama supaya ia nya dilihat bahawa kita tidak sekadar memperjuangkan nasib satu-satu kaum tetapi perjuangan BN itu sendiri untuk semua kaum.

MSTAR: Bagaimana dengan proses pembentukannya adakah ia mendapat kerjasama daripada parti-parti komponen yang lain?

ROSNAH: Konsep Puteri BN ini telah diperkenalkan sejak era Datuk Noraini menjadi Ketua Puteri lagi. Ia juga telah dibincangkan sejak dari awal lagi sehingga pada tahun ini. Namun jika kita sekadar mencadangkan, dan Puteri Umno telah beberapa kali menyuarakan hasrat kami untuk melihat pembentukan Puteri BN.

Namun jika ia sekadar diperkatakan dan tidak ada pelaksanaan serta tidak disambut oleh pucuk pimpinan, perkara ini tidak dapat direalisasikan. Kita merayu supaya pucuk pimpinan menimbangkan cadangan untuk menubuhkan Puteri BN. Melalui Puteri BN secara positifnya kita tidak akan dilihat hanya memperjuangkan nasib satu-satu bangsa tetapi kita sebenarnya akan menjadi pembela rakyat daripada semua golongan dan bangsa.

MSTAR: Bagaimana Datuk melihat kemenangan jawatan Ketua Puteri, adakah ia membawa aspirasi rakyat Sabah secara amnya?

ROSNAH:Kita menyedari dan akur bahawa apabila kita menerajui sesebuah pergerakan kita merupakan pemimpin semua lapisan ahli-ahli Puteri bukan setakat saya memimpin ahli-ahli Pergerakan di Sabah sahaja. Sabah merupakan tempat asal saya tetapi sekarang saya telah dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan ahli-ahli Puteri di seluruh negara dan inilah merupakan tanggungjawab.

Walaupun rakyat di Sabah cukup bangga dengan pelantikan saya sebagai Timbalan Menteri namun pada masa yang sama tanggungjawab itu adalah untuk seluruh negara.

Alhamdullilah pada masa yang sama saya sebagai salah seorang wakil rakyat dari Sabah yang diberi kepercayaan yang cukup dalam Kabinet. Pemimpin-pemimpin dari Sabah diberi empat portfolio menteri dan limat timbalan menteri, kita bersyukur. Pada pandangan peribadi saya sudah tidak ada ruang untuk politik kenegerian kerana landskap politik negara telah berubah ke arah politik perdana.

Aspek kenegeriaan sudah tidak ada relevannya lagi sekarang kita terlibat dalam arus politik perdana di mana semua pemimpin digarapkan dengan tanggungjawab untuk melaksanakan apa jua bentuk tangggungjawab yang bersifat nasional. Namun pada masa yang sama sudah tentu kita juga perlu menekankan bahawa akar umbi kita di sana seperti di negeri Johor sendiri amat bertuah kerana pada tahun 2004 mereka telah menampilkan lapan menteri kiranya keadaannya lebih kurang sama pada ketika ini.

MSTAR: Adakah Datuk melihat wakil-wakil Menteri dan Timbalan Menteri dari Sabah yang dipilih menanggotai Kabinet memenuhi konsep Satu Malaysia?

ROSNAH:Alhamdulillah sebenarnya pelantikan wakil-wakil rakyat dari Sabah untuk memegang portfolio-portfolio tertentu telah memberi signal yang cukup jelas kepada rakyat Sabah bahawa mereka ini tidak pernah dipinggirkan daripada arus politik perdana. Ia secara langsung memberi kesan yang positif dan kita diberi portfolio yang penting yang memberi kesan kepada aspek pembangunan di negeri Sabah itu sendiri.

Saya melihat perkara ini begitu positif dan menunjukkan bahawa tidak ada satu kaum dan negeri kurang atau lebih dari negeri yang lain. Jika kita berfikiran sedemikian kita sudah tentu kita akan jadi lebih positif.

MSTAR: Di mana platform Puteri dalam tempoh tiga tahun akan datang?

ROSNAH: Saya melihat Pegerakan Puteri sebagai satu pergerakan yang diwujudkan pada tahun 2001 adalah untuk memenuhi aspirasi parti pada ketika itu. Ini kerana pada tahun 1999 kita dicabar di mana senario politik ketika itu menunjukkan orang-orang muda dilihat tidak bersama-sama Umno dan BN. Oleh keran itu, BN mengambil langkah menubuhkan Puteri.

Membicarakan tentang objektifnya, Puteri tidak pernah lari daripada perkara tersebut yang mana ia menumpukan perhatian untuk menarik sokongan golongan muda untuk bersama-sama BN. Peranan Puteri dalam tempoh tiga tahun akan datang tidak akan berganjak namun setelah lapan tahun kewujudannya, Puteri harus dilihat mempunyai pendekatan yang baru memberikan suntikan baru kepada program pelaksanaannya supaya ianya dilihat relevan kerana keadaan lapan tahun yang lalu amat berbeza.

Jika kita masih meletakkan asas dan pendekatan yang sama sudah tentu agak sukar untuk Puteri memainkan peranan untuk menarik sokongan golongan muda. Saya berpendapat cara dan pendekatan yang kita gunakan perlu ada perbezaan dan wow factor tersendiri untuk memastikan golongan muda ini akan bersama-sama dengan kita.

Sebagai golongan muda kita tahu mereka suka sesuatu yang baru dan suka kepada perkara-perkara alternatif dan inilah perkara yang perlu diterokai oleh kempimpinan dan ahli-ahli Puteri diperingkat akar umbi.

MSTAR: Harapan Datuk terhadap pembaharuan Pergerakan Puteri?

ROSNAH: Sudah tentu sebagai seorang ketua saya ingin yang terbaik untuk Puteri selari dengan apa yang dihajatkan oleh pucuk pimpinan. Kita juga ingin melihat pembaharuan dalam Pergerakan Puteri. Kita ingin melihat Puteri mampu menarik sokongan golongan muda.

Pada masa yang sama kita ingin menjadi sebahagian daripada jentera parti yang melakukan perubahan dalam amalan dan pentadbiran agar kita diterima oleh pengundi. Saya ingin Puteri menjadi satu pergerakan yang menjelaskan objektif, visi dan misi kerajaan dan melihat kesinambungan keamanan di negara ini berterusan.

MSTAR:Adakah Puteri akan tetap turun berkempen jika BN tidak bertanding?

ROSNAH: Pergerakan Puteri mempunyai pendirian sekiranya pucuk pimpinan memutuskan bahawa tidak meletakkan calon, kita akan memainkan peranan juga dalam memberikan penjelasan kepada rakyat. Ini kerana kita pernah lakukannya di Bukit Gantang di mana kita mempunyai skuad tersendiri yang kita turunkan di peti-peti undi untuk menerangkan keadaan politik Perak pada ketika itu dan mungkin peranan yang sama kita akan jalankan.

Sebelum ini pun kita telah menghantar beberapa pasukan sejurus selepas peletakkan jawatan ADUN Penanti, Fairus Kamaruddin. Sudan tentu sebaik keputusan pucuk pimpinan kita memainakan peranan yang aktif dalam membantu untuk menjelaskan kepada tindakan-tindakan yang dilakukan oleh pihak pembangkang.

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan