Timbalan menteri: Kumpulan pro-Murugiah mahu Kayveas hormati PM, ROS

Diterbitkan: Ahad, 21 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kumpulan pro-Senator Datuk T. Murugiah menggesa Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas agar tidak terburu-buru dalam mengemukakan nama calon pengganti di Kabinet bagi mewakili parti itu.

Sehubungan itu, kumpulan tersebut mahu Kayveas "memberi masa dan ruang bagi Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak untuk membuat keputusan sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung isu tersebut."

"Kenyataan Datuk Kayveas dilihat akan terus mengeruhkan kemelut dalaman PPP dan memberi satu gambaran pemimpin komponen BN yang tidak menghormati pesanan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak sebagai Pengerusi BN dan Perdana Menteri.

"Datuk Seri Najib telah menegaskan bahawa calon Timbalan Menteri adalah hak mutlak beliau. Datuk Kayveas perlu faham dan akur keputusan Datuk Seri Najib yang mahu ROS betul-betul mendalami kemulut dalaman PPP sebelum sebarang keputusan dapat dibuat," kata Dr. N.A. Shanmuganathan dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Shanmuganathan merupakan salah seorang yang dipecat oleh kepimpinan Kayveas bulan lalu dan kini merupakan ahli PPP dalam kumpulan pro-Murugiah.

Beliau mengulas kenyataan Kayveas semalam bahawa mesyuarat Majlis Tertinggi PPP Rabu depan akan memilih seorang antara lima Naib Presiden untuk mengantikan Murugiah sebagai Timbalan Menteri.

Walaupun Murugiah sudah dipecat oleh Kayveas tetapi masih merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Shanmuganathan berkata, tindakan Kayveas itu dilihat "sebagai tidak menghormati pesanan Perdana Menteri selaku Pengerusi Barisan Nasional," katanya.

"Datuk Seri Najib telah pun menegaskan bahawa beliau akan menunggu keputusan ROS sebelum membuat apa-apa keputusan terhadap kedudukan Kayveas sebagai Presiden dan status Parti PPP serta kedudukan Senator Murugiah sebagai Timbalan Menteri.

"Bukan itu sahaja Perdana Menteri juga ingin mengetahui sama ada pemecatan Murugiah dan enam ahli dibuat mengikut prosedur.

"Datuk Kayveas sepatutnya memberi masa dan ruang bagi ROS dan Perdana Menteri untuk membuat keputusan sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan terhadap isu tersebut," katanya.

Petang semalam, Kayveas berkata, PPP akan mencalonkan nama salah seorang daripada lima Naib Presiden parti itu kepada Perdana Menteri secepat mungkin bagi menggantikan Murugiah yang telah dipecat dari parti itu.

Kayveas berkata, beliau akan menyerahkan nama calon tersebut selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PPP dan mengisi satu lagi kekosongan kerusi Naib Presiden parti itu Rabu depan.

Dalam pada itu, Murugiah pula meminta Kayveas menghormati Najib dan tidak memandai-mandai untuk cuba menggantikan beliau dengan orang lain.

"Kayveas patut bersabar dan menunggu keputusan siasatan Pendaftar Pertubuhan (ROs) sebelum menggantikan saya dengan orang lain," kata Murugiah dipetik Bernama.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan