H1N1: Kes kedua jangkitan tempatan dikenal pasti

Diterbitkan: Sabtu, 20 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan kes jangkitan kedua tempatan influenza A(H1N1) apabila seorang lelaki warga tempatan berusia 22 disahkan positif semalam.

Lelaki itu yang merupakan kes ke-37 daripada 42 kes dicatatkan setakat ini di negara ini merupakan kontak terdekat kepada pesakit kes ke-28 iaitu pelajar Malaysia berumur 20 tahun yang menuntut di Universiti Chicago yang pulang bercuti, Isnin lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican dalam satu kenyataan hari ini berkata, lelaki itu bagaimanapun tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara.

Beliau berkata, setelah mengetahui dirinya menjadi kontak kepada kes ke-28, lelaki itu telah pergi ke Hospital Sungai Buloh dan terus dimasukkan ke wad pada 3 petang, Jumaat lepas.

"Siasatan mendapati beliau telah demam, sakit badan dan sakit kepala pada pagi 18 Jun. Beliau telah disahkan positif pada 19 Jun 2009 dan merupakan jangkitan tempatan," katanya.

Penularan wabak tersebut di peringkat tempatan yang pertama dikesan pada pesakit ke-19, yang disahkan positif pada 15 Jun lepas.

Pesakit berkenaan, seorang pelajar perempuan 17 tahun, dijangkiti daripada pesakit ke-12 akibat kegagalan kuarantin apabila tidak dimaklumkan pernah berhubung dengan pelajar perubatan kes terdahulu.

Kes kedua jangkitan tempatan itu merupakan antara tujuh kes influenza A (H1N1) baru yang dikesan di Malaysia dalam tempoh 24 jam lepas.

Kesemua kes itu membabitkan warga tempatan.

Enam kes yang dikesan merupakan kes import, iaitu lima kes baru kembali dari Melbourne dan satu lagi kes baru kembali dari London.

Dr. Mohd Ismail berkata, buat masa ini, 30 daripada 42 kes yang disahkan positif influenza A (H1N1) masih dalam rawatan di hospital iaitu Hospital Sungai Buloh (12), Hospital Kuala Lumpur (8), Hospital Tuanku Jaafar, Seremban (3), Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang (2), Hospital Pulau Pinang (2), Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah (1), Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh (1), dan Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang (1).

Kesemua diberikan rawatan antivirus dan dalam keadaan stabil, katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh 24 jam lepas, sejumlah 75 notifikasi kes yang menunjukkan gejala jangkitan influenza diterima dari seluruh negara dan dimasukkan ke wad isolasi.

Sehingga 9 malam, 19 Jun, jumlah terkumpul kes yang disiasat kerana disyaki jangkitan influenza A(H1N1) adalah sebanyak 1,167 kes di mana 42 kes disahkan positif influenza A(H1N1), 1,097 disahkan negatif dan 28 masih menunggu keputusan.

Seramai 44 orang bagi kontak kes ke-12 dan kontak kes ke13 pula telah tamat kuarantin di rumah, katanya.

Mohd Ismail berkata kontak yang masih diletakkan di bawah kuanrantin di rumah kini adalah seramai 249 orang, termasuk 47 kontak baru yang dikesan.

"Kesemua mereka yang sedang menjalani kuarantin dalam keadaan stabil tanpa simptom jangkitan influenza," katanya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan bahawa sehingga 8 pagi, 20 Jun lepas, jumlah terkumpul kes influenza A(H1N1) yang dilaporkan ke WHO adalah sebanyak 44,596 kes dengan 180 kematian daripada 94 negara, iaitu pertambahan 4,507 kes dengan 13 kematian.

Majoriti kes yang dilaporkan adalah daripada Mexico (1,383), Kanada (865), Chile (790), United Kingdom (291) dan Thailand (208).

Bagi mengesan kontak kepada kesemua kes positif, Kementerian Kesihatan memohon kerjasama kepada penumpang, anak kapal dan kontak kepada kes terutama yang duduk di tiga barisan hadapan dan belakang untuk menghubungi kementerian melalui talian 03-88810200 atau 03-88810300 untuk membolehkan kementerian memberi nasihat kesihatan termasuk keperluan kuanrantin di rumah.

Sementara pelajar Malaysia yang baru kembali bercuti di luar negara yang terjejas dengan wabak influenza A(H1N1) adalah diminta untuk sentiasa mematuhi nasihat yang diberikan.

"Mereka yang mula merasa kurang sihat atau ada tanda awal jangkitan seperti batuk dan demam hendaklah segera mendapatkan rawatan daripada doktor yang berdekatan dan mengurangkan pergaulan dengan rakan lain termasuk menghadiri kelas di sekolah," katanya.

Langkah itu bagi mengelak penularan penyakit di sekolah yang boleh melibatkan jumlah yang tinggi.

Kementerian Kesihatan juga menasihatkan orang ramai untuk menangguhkan perjalanan ke negaranegara yang dilanda wabak kecuali benarbenar tidak dapat dielakkan, katanya. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan