Umno tiada muslihat di sebalik cadangan kerajaan perpaduan - Mukhriz

Diterbitkan: Khamis, 18 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Umno tidak ada muslihat lain atau 'udang di sebalik batu' berikutan reaksi positif yang diberikan parti itu terhadap cadangan pembentukan kerajaan perpaduan yang dikemukakan PAS, kata Anggota Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Mahathir.

Katanya idea kerajaan perpaduan di antara Umno dan PAS, sekiranya benarbenar menjadi kenyataan, dapat menyatukan kembali orang Melayu yang kini semakin berpecah.

"Kita sebenarnya tidak ada udang di sebalik batu dalam soal ini. Apa yang kita lakukan ini sematasemata mahukan yang terbaik bagi semua. Kita kini berhadapan cabaran getir ekonomi dunia yang meleset, tempiasnya turut dirasai di sini.

"Kita tak ada masa untuk polemik politik berpanjangan yang akhirnya tidak membawa sebarang manfaat kepada rakyat walhal sepatutnya tumpuan kita menjurus kepada mencari penyelesaian ekonomi yang dapat menjamin kesejahteraan semua," katanya.

Mukhriz berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, hari ini. Turut hadir, Pengarah HUSM, Dr Zaidun Kamari.

Mukhriz, yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata semua pihak perlu lebih rasional dan tidak terlalu mengikut emosi memandangkan cadangan itu masih di peringkat awal.

"Yang penting kita kena rasional, jangan emosi, dan pasang niat ikhlas sematamata untuk agama, bangsa dan tanah air. Sudah tentu akan ada pihak tertentu yang akan buat provokasi. Saya harap pihak kita tidak mudah melenting dan sentiasa tenang hadapi perkara ini," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan