Rajeswary tawar diri sebagai Ketua Wanita MIC

Diterbitkan: Khamis, 18 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Keazaman memenuhi aspirasi dan hala tuju ke arah meningkatkan martabat wanita India di negara ini telah mendorong Ketua Wanita MIC Bukit Bintang G. Rajeswary menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Wanita MIC kebangsaan pada pemilihan parti Ogos ini.

Katanya beliau mahu membuka lembaran dan era baru dalam sayap wanita parti itu dengan membawa perubahan dan pembaharuan agar merealisasikan matlamat mengubah nasib golongan itu.

"Wanita MIC perlu melakukan perubahan serius berikutan sayap wanita itu dilihat tidak memainkan peranannya dalam memajukan status kaum wanita India," katannya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Rajeswary melahirkan rasa kesal kerana sayap itu tidak bersuara langsung dalam membantu masyarakat wanita berbanding lontaran semangat bahagian wanita lain dalam parti komponen Barisan Nasional (BN) serta badan bukan kerajaan (NGO).

"Situasi dalam Wanita MIC di bawah kepimpinan Datin Paduka Komala Devi memang menyedihkan memandangkan tiada program secukup untuk kemajuan golongan wanita India," dakwanya.

Katanya, Wanita MIC sepatutnya menjadi "mata dan telinga" bagi masyarakat kaum tersebut dan harus dianggap sebagai "ibu" untuk diluah perasaan serta tempat mengadu masalah.

"Disebabkan Wanita MIC tidak merapatkan diri dengan akar umbi, maka kita lihat sekarang ini harapan wanita terhadap MIC mula berkurangan dan golongan wanita sudah dipinggirkan.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan bahawa masyarakat India telah banyak mencapai kemajuan hasil usaha keras parti di bawah kepimpinan Datuk Seri S. Samy Vellu. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan