Nizar harap segera peroleh penghakiman bertulis Mahkamah Rayuan

Diterbitkan: Rabu, 17 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini mempersoalkan kelewatan Mahkamah Persekutuan menyediakan penghakiman bertulis kepadanya berhubung keputusan status Menteri Besar Perak yang memihak kepada Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bulan lalu.

Beliau berkata, kelewatan memperoleh penghakiman bertulis telah menyebabkan pihaknya terpaksa menangguhkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan.

"Keputusan Mahkamah Rayuan untuk buat penghakiman sungguh cepat. Kita juga alu-alukan supaya alasan itu dikeluarkan cepat tapi sehingga hari ini, ulasan itu tidak kelihatan," katanya di lobi Parlimen hari ini.

Pada 22 Mei lalu, Mahkamah Rayuan mengisytiharkan Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Keputusan sebulat suara panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Md Raus Shariff, Datuk Zainun Ali dan Datuk Ahmad Maarop sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Mei lalu yang memihak kepada Mohammad Nizar.

Mohammad Nizar berkata, peguam beliau telah menghantar surat kepada ketiga-tiga hakim tersebut dan satu salinan kepada setiausaha masing-masing untuk mendapatkan salinan penghakiman bertulis itu, namun masih gagal mendapatkannya.

Beliau berkata, pihaknya akan memfailkan permohonan itu pada minggu ini walaupun tanpa penghakiman bertulis tersebut memandangkan tempoh 30 hari untuk melakukannya akan tamat Isnin ini.

"Kita terpaksa membuat permohonan pada minggu ini walaupun tiada alasan. "Bayangkan bagaimana kami hendak merangka soalan-soalan tanpa merujuk kepada mana-mana alasan (dalam penghakiman bertulis)," katanya.

Sementara itu, Mohammad Nizar turut meminta satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat punca krisis politik Perak.

"Kita minta kerajaan tubuhkan Suruhanjaya Diraja menyiasat kes rampasan kuasa di Perak kerana kami sebenarnya hendak tahu kalau ada kena mengena dengan rasuah.

"Kita nak tahu siapa rasuah siapa supaya ia tidak berlaku di mana-mana lagi pada masa akan datang," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan