Majikan perlu serah pasposrt kepada pembantu rumah jika diminta - Subramaniam

Diterbitkan: Rabu, 17 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Majikan yang memegang pasport pembantu rumah warga asing perlu menyerahkan dokumen tersebut jika diminta oleh mereka untuk tujuan rasmi seperti memperbaharui visa, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam.

Kegagalan untuk menyerahkan pasport atas permintaan pembantu rumah berkenaan boleh mengakibatkan majikan dikenakan denda RM10,000 mengikut pindaan Akta Kerja 1955.

"Jika pembantu rumah berkenaan ingin berhenti kerja dan meminta semula pasport maka majikan perlu memberikannya," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Pembangunan Sumber Manusia India Kapil Sibal di sini hari ini.

"Pindaan akta itu juga meletakkan tanggungjawab kepada majikan bagi memastikan visa pembantu rumah warga asing diperbaharui mengikut masa dan hukuman denda diperuntukan jika gagal berbuat demikian," katanya.

Semalam, Dr Subramaniam, mengumumkan bahawa di bawah pindaan akta itu, semua pembantu rumah warga asing layak mendapat cuti sehari dalam seminggu atau digantikan dengan bayaran gaji sehari.

Katanya pihaknya akan menyediakan buku panduan yang mengandungi semua maklumat penting termasuk hak dan perlindungan undangundang kepada setiap pembantu rumah warga asing yang masuk ke negara ini.

"Jika majikan melanggar kontrak, maka pembantu rumah berkenaan boleh menggunakan buku panduan tersebut untuk membuat laporan dengan pihak berkuasa yang relevan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Subramaniam berkata kerajaan masih belum memutuskan sama ada membenarkan pembantu rumah dari China untuk bekerja di negara ini.

"Apabila kita mengkaji cadangan itu pada peringkat awal, terdapat banyak bantahan dari beberapa pihak dalam masyarakat Cina tetapi kini kami tidak tahu jika situasi itu telah berubah," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan