Hishamuddin: ISA dan undang-undang pencegahan dipertimbang terhadap PKPM

Diterbitkan: Rabu, 17 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri akan mempertimbang penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan undang-undang pencegahan lain terhadap ketua dan pengikut utama Pasukan Khas Persekutuan Malaysia (PKPM) sekiranya didapati pertubuhan itu mempunyai elemen yang boleh menjejaskan keselamatan negara dan masyarakat negara ini.

Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata beliau dan Ketua Polis Negara tidak akan berkompromi dalam halhal yang boleh menjejaskan keselamatan negara dan akan menggunakan peruntukan undangundang sedia ada bagi mengekang kegiatan itu.

"Apa juga undang-undang yang ada akan dipertimbangkan. Kita mempunyai banyak undangundang bagi memastikan perkara ini tidak berleluasa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Pertandingan Menembak Konfederasi Menembak Praktikal Antarabangsa (IPSC) Piala Menteri Dalam Negeri di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim dan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Hishammuddin berkata tindakan undang-undang dari konteks lain perlu dipertimbangkan memandangkan kes membabitkan ketua pertubuhan haram itu masih belum selesai di mahkamah dan kini masih di peringkat rayuan.

"Jadi kes baru ini akan diteliti dalam konteks yang lain termasuk Undang-Undang Pencegahan Khas yang sentiasa dalam perhatian dan pertimbangan saya setiap malam terhadap ramai orang demi keselamatan rakyat dan negara ini," katanya.

Semalam, seramai 42 lelaki termasuk enam orang kanan PKPM ditahan setelah dikesan terlibat dalam cubaan menghidupkan semula pertubuhan haram itu yang pernah dilumpuhkan Polis Diraja Malaysia enam tahun lalu.

Antara yang ditahan ialah peneraju PKPM Nor Azami Ahmad Ghazali serta 36 bakal anggota yang baru hendak direkrut berumur dalam lingkungan 20an hingga 40an di sebuah premis di Taman Gombak Jaya di sini tengah hari semalam.

Hishammuddin berkata beliau yang dimaklumkan dengan penahanan itu malam semalam menyifatkannya ia bukan satu perkara baru dan meminta orang ramai agar tidak terpedaya dengan pergerakan terbaru itu.

"Memang tidak ada asas langsung untuk dihidupkan semula dan penglibatan semua pihak akan dipantau secara dekat oleh polis," katanya.

Sementara itu, enam orang pemimpin kanan termasuk peneraju PKPM, Nor Azami ditahan reman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan polis.

Timbalan Pengarah II Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman SAC I Tajuddin Md. Isa ketika dihubungi mengesahkan perkara itu namun enggan mengulas.

Difahamkan 36 rekrut yang turut ditahan semalam dibebaskan selepas diambil keterangan.

Sementara itu tinjauan Bernama ke lokasi pejabat pertubuhan itu mendapati pintu utamanya telah dikunci dan tiada sebarang aktiviti.

Seorang pengusaha restoran yang hanya dikenali sebagai Kak Ina, 40an berkata beliau terkejut melihat polis dan media mengerumuni lokasi pejabat pertubuhan itu yang terletak di hadapan restorannya itu semalam.

"Saya tidak mengesyaki apaapa yang pelik tentang pertubuhan itu kerana mereka biasanya makan dan bayar dengan betul...tidak nampak seperti mendatangkan bahaya kepada orang ramai," katanya.

Pelanggan tetap kedai runcit berdekatan pejabat pertubuhan itu yang tidak mahu dikenali berkata setiap hari ada sahaja orang yang berpakaian kemas akan mengunjungi pejabat itu.

Katanya pada jangkaan awal, pejabat itu mungkin menjalankan aktiviti perniagaan berunsurkan sistem jualan langsung namun tidak menyangka ia merekrut anggota untuk aktiviti haram. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan