Akta lindungi data peribadi dibahas Oktober ini - Berita Semasa | mStar

Akta lindungi data peribadi dibahas Oktober ini

Diterbitkan: Rabu, 17 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang Perlindungan Data Peribadi bertujuan melindungi data peribadi pengguna, yang melibatkan aktiviti komersial dijangka dibentangkan di Parlimen Oktober ini.

Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Heng Seai Kie berkata, rang undang-undang itu telah pun dimuktamadkan oleh Jabatan Peguam Negara.

Ia bukan hanya terhad kepada perundangan siber tetapi turut merangkumi sektor-sektor seperti pelancongan, kewangan, insurans, telekomunikasi dan sektor lain yang melibatkan transaksi komersial.

"Rang undang-undang ini bertujuan untuk mengawal selia pemprosesan data peribadi seseorang individu oleh pengguna data supaya memberi perlindungan kepada individu tersebut.

"Selain itu, ia adalah untuk menjaga kepentingan hak peribadi individu bagi mencegah sebarang penyalahgunaan data peribadi seseorang itu," katanya ketika menjawab soalan Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan).

Heng berkata, akta ini lebih merupakan undang-undang pematuhan dengan menumpukan kepada kewujudan jentera penguatkuasaan.

Menjawab soalan Saifuddin Nasutian Ismail (PKR-Machang) yang bertanya sama ada rundingan awam dilakukan sebelum akta tersebut dimuktamadkan, Heng berkata, beberapa rundingan awam telah dijalankan melibatkan pertubuhan bukan kerajaan, sektor awam dan swasta.

"Ini penting untuk mendapatkan maklumat lebih menyeluruh kerana kita tahu rang undang-undang ini akan membawa kesan ke atas sistem yang sedia ada," katanya.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan