Najib akan lakukan lawatan nostalgia ke kampung di Sarawak

Diterbitkan: Selasa, 16 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Ia akan menjadi lawatan penuh nostalgia bagi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak apabila beliau melawat kampung tertentu pada lawatan rasmi dua hari ke Sarawak, bermula Rabu ini.

Pada majlis pemimpin bersama rakyat di Kampung Pichin dekat Tebakang, kirakira 80km dari sini pada hari kedua lawatannya

beliau akan mengulangi jejak allahyarham bapanya, perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein.

Abdul Razak melawat kampung Bidayuh itu pada awal 70an.

Ia akan merupakan lawatan kedua Najib ke negeri ini dalam tempoh kurang seminggu selepas menghadiri Rumah Terbuka Gawai Dayak Malaysia 2009 di sini Sabtu lepas, apabila beliau menekankan konsep Satu Impian, Satu Bangsa dan Satu Negara '1Malaysia'.

Menurut pegawai Jabatan Penerangan Sarawak, perdana menteri dijadual memulakan lawatannya dengan majlis pelancaran simbolik landasan sepanjang 3,750m di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada tengah hari Rabu. Projek pemanjangan landasan itu dibangunkan Global Upline Sdn Bhd.

Najib, yang akan diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, juga dijadual merasmikan Hotel Four Points By Sheraton 420 bilik di sini, yang dibangunkan oleh Global Hotel and Resort Sdn Bhd sebelum menghadiri jamuan malam di tempat yang sama.

Keesokannya, Najib yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) dijadual mengadakan perjumpaan dengan pemimpin BN Sarawak dan selepas itu menaiki helikopter untuk melakukan lawatan ke Rumah Manai, Nanga San di Batang Ai dekat Lubok Antu.

Rumah panjang Iban itu terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Batang Ai, yang dikekalkan oleh BN, melalui Parti Rakyat Sarawak (PRs), pada pilihan raya kecil 7 April lepas.

Selepas itu, Najib akan meneruskan lawatan ke Kampung Pichin, di mana beliau dijangka mengulangi lawatan nostalgia dan bersejarah sepertimana yang pernah dilakukan oleh allahyarham bapanya dahulu.

Jadual lawatannya yang sibuk itu juga termasuk meninjau projek pembinaan jalan raya dan perparitan di Kampung Bintawa Hilir dan Tengah di sini sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan