Kecoh: Nizar bertindak "Hang Tuah" di Dewan?

Diterbitkan: Selasa, 16 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tindakan melaungkan dan memakai lilitan "BUBAR DUN" oleh bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan sebahagian ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat pagi tadi disifatkan sebagai "tindakan memalukan."

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, tindakan itu sememangnya telah dirancang oleh pembangkang sempena majlis angkat sumpah Nizar sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang.

"(Apa yang berlaku) satu perkara yang amat memalukan kerana tidak menunjukkan satu teladan, satu contoh sebagai ahli Yang Berhormat.

"Saya kesal dan berharap ia tidak menjadi contoh, berharap tindakan dan perangai ini tidak mewakili pandangan majoriti ahli-ahli Parlimen," kata Nazri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Parlimen.

Nazri mengulas tindakan Nizar yang melaungkan "bubar DUN" dan kemudian mengikat lilitan "BUBAR DUN" Perak sambil diikuti beberapa wakil rakyat Pakatan Rakyat.

Nizar memenangi kerusi Parlimen Bukit Gantang awal April lalu.

Termasuk beliau tujuh wakil rakyat Pakatan diarah keluar Dewan Rakyat oleh Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Mereka 'digantung' selama dua hari ini sehingga hari ini.

Jelas Nazri, setiap pihak yang memasuki Dewan Rakyat dikehendaki mematuhi kod etika pakaian yang ditetapkan.

"Pakaian kita pun, masuk ke dalam Dewan ditetapkan oleh kod pakaian," katanya.

Sebarang pakaian di luar kod etika, kata beliau, jika hendak diamalkan perlu mendapatkan kebenaran Speaker, kata Nazri.

"(Malah) apa-apa dokumen yang hendak diletakkan di atas meja (wakil rakyat di Dewan) pun kena mendapat kebenaran," katanya.

Mengenai komen Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pemakaian lilitan diamalkan di negara lain, Nazri memberitahu, "kalau Ketua Pembangkang kata di luar negara, itu di luar negara, ini Malaysia... tak boleh dilakukan, perlu dihormati."

Ketika ditanya mengapa pemakaian lilitan di kalangan wakil rakyat dibenarkan semasa kempen anti-Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) beberapa tahun lalu, beliau memberitahu, banyak perkara yang dilakukan pada masa lalu adalah atas "dasar terlepas pandang."

"Yang penting daripada pemerhatian mata Speaker, kalau Speaker tidak nampak terlepaslah... tapi apabila perkara gila berlaku macam pagi tadi, dia menarik perhatian, tiba-tiba ramai yang pakai.

"Maka daripada segi perhatian Speaker dan mengambil keputusan dia.

"Dulu dia pakai lilitan, kita tak sedar pun, kita tidak tahu pun ada yang pakai... ada juga Ahli Parlimen yang tidak membangkitkan perkara itu pun.

"Jadi keputusan dibuat berdasarkan tarikan perhatian berdasarkan perkara itu baru kita ambil keputusan (mengarah keluar Dewan Rakyat)," katanya.

BAHAS PLKN BERALIH FOKUS

Dalam pada itu, sesi bahas Rang Undang-undang Latihan Khidmat Negara (Pindaan) 2008 mencuri tumpuan apabila beberapa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) turut membangkitkan insiden yang mewarnai Dewan Rakyat pagi tadi.

Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali mengecam tindak-tanduk beberapa Ahli Parlimen Pakatan sambil menekankan, "sebagai golongan terpelajar, wakil rakyat berkenaan seharusnya membincangkan rasa tidak puas hati mereka menggunakan saluran yang sesuai." "Sebagai golongan dewasa kita seharusnya menunjukkan teladan baik kepada golongan muda jika kita mahu menjadi warganegara yang baik," katanya.

"Tetapi, melihat kepada apa yang berlaku hari ini, kita tidak dapat menunjukkan contoh yang baik di Dewan ini," katanya lagi.

"Ini (insiden pagi ini) sesuatu yang memalukan," kata Ahli Parlimen BN dari Lipis, Datuk Mohamad Shahrum Osman.

Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan BN, Datuk Bung Moktar Radin berkata, Nizar bertindak sebagai Hang Tuah apabila mengenakan lilitan dan melaungkan slogan membubarkan Dewan Undangan Negeri. "Nasib baik beliau tak bawa keris ke dalam Dewan, jika tidak beliau pun sudah tentu hunus keris, nasib baik beliau tidak bawa pistol," katanya.

"Beliau kata jurutera, apa punya jurutera... beliau kena menjuruterakan diri beliau dulu," katanya lagi.

Tambah wakil rakyat BN dari Kinabatangan itu, "ini Dewan Rakyat, bukan Dewan Undangan Negeri Perak, yang boleh bersidang di bawah pokok." Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir ketika ditemui di ruang lobi Parlimen berkata, adalah sesuatu yang mengecewakan apabila Nizar cuba mengalih fokus perjalanan mesyuarat Dewan Rakyat dengan laungan dan pemakaian lilitan.

Tindakan beliau melakukan demikian pada hari pertama lebih memburukkan lagi keadaan, kata beliau.

"Bagaimanapun saya tidak terkejut dengan tindakan beliau," katanya.

Ketua Pemuda Umno dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin pula berkata, Nizar tidak seharusnya bertindak demikian untuk menarik perhatian media.

"Saya faham perasaan mendalamnya berhubung isu politik Perak tetapi seharusnya telah membahaskan perkara itu secara lebih bertamadun," katanya.

KOMEN NIZAR

Nizar apabila dihubungi The Star berkata, tiada sebab bagi Speaker untuk menggantung beliau dan enam wakil rakyat Pakatan yang lain.

Katanya, beberapa Ahli Parlimen pernah mengenakan lilitan putih bagi membantah penggunaan ISA pada tahun 2001 terhadap pemimpin pembangkang. "Saya mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen dan telah mendapatkan kebenaran Speaker untuk mengatakan sesuatu di Parlimen.

"Beliau meminta saya menanggalkan lilitan dan saya telah melakukan. Kemudian saya duduk di tempat saya dan tidak sampai 10 saat, beliau mengarahkan saya keluar Dewan," katanya.

Nizar menambah, beliau kemungkinan mempertimbangkan untuk menyoal penggantungannya apabila kembali ke Dewan Rabu ini.

Dalam pada itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, pihaknya menyokong kempen memakai lilitan "BUBAR DUN".

PAS melancarkan kempen itu pada Muktamar Tahunan PAS Ke-55 minggu lalu.

"Apa yang dilakukan oleh Nizar hari ini menunjukkan manifestasi beliau tentang perkara yang berlaku di Perak. Beliau cuba nak sampaikan perkara itu," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan