Biasiswa JPA untuk pelajar bukan Bumiputera meningkat - Nazri

Diterbitkan: Selasa, 16 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bilangan pelajar bukan Bumiputera yang layak menerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meningkat dengan ketara tahun ini, iaitu mencecah sehingga 600 peratus berbanding tahun 2000, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini. Menurut perangkaan JPA, seramai 924 pelajar bukan bumiputera daripada keseluruhan 2,100 pelajar layak menerima tajaan JPA untuk mengikuti pengajian di luar negara tahun ini, berbanding hanya 150 daripada 748 pelajar pada 2000.

Tahun lepas, seramai 900 pelajar bukan bumiputera mendapat manfaat daripada pemberian biasiswa itu daripada keseluruhan 2,000 pelajar yang layak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz ketika menjawab soalan Tan Ah Eng (BNGelang Patah) berkata kerajaan telah menggubal dasar penajaan Program Ijazah Luar Negara (PILN) 2009 bagi mengatasi ketidakseimbangan permohonan biasiswa JPA antara bumiputera dan bukan bumiputera.

Kerajaan, pada 14 Jan tahun ini, juga telah memutuskan dasar penajaan itu dibahagikan kepada empat kategori iaitu kecemerlangan akademik, populasi kaum, bumiputera Sabah dan Sarawak serta golongan pelajar luar bandar dan bandar yang berpendapatan rendah dan mempunyai kemudahan pembelajaran terhad.

"Selain itu kecemerlangan akademik yang dipertimbangkan oleh JPA adalah berdasarkan kepada maksimum sembilan mata pelajaran utama sahaja mengikut kesesuaian bidang pengajian yang dipohon pelajar. "Had itu ditetapkan bagi memastikan semua calon bertanding di atas 'padang permainan' yang sama disebabkan tidak semua sekolah mempunyai kemampuan dan membenarkan pelajar mengambil lebih daripada sembilan mata pelajaran," katanya. Dalam pada itu, Mohamed Nazri turut membidas dakwaan Lim Kit Siang (DAPIpoh Timur) mengenai wujudnya penganiayaan dalam pembahagian tawaran biasiswa JPA kepada mereka yang layak.

Sebaliknya, beliau berkata, pemilihan pelajar yang layak adalah berdasarkan merit dan bukannya berdasarkan kaum, bangsa atau bahasa pemohon.

Malah, katanya, berdasarkan jumlah 417 pelajar yang benarbenar cemerlang akademik yang layak mendapat biasiswa tahun ini, seramai 282 orang (68 peratus) adalah pelajar bukan bumiputera, berbanding 135 pelajar (32 peratus) merupakan bumiputera.

"Jadi tidaklah ada orang dianiaya kerana kulit dia bukan coklat, kulit dia kuning, kulit dia hitam ke, tak berbangkit benda ini kerana dalam kategori satu tadi (kecemerlangan akademik) bukan bumiputera 68 peratus, jadi yang berhormat kalau tak tahu tok sah (jangan) bercakaplah".

Menurut Nazri, dasar penajaan JPA juga bersandarkan kepada tiga kriteria utama iaitu menekankan pembangunan ilmu pengetahuan, kepentingan integrasi nasional dan pendidikan sebagai agenda meningkatkan taraf sosio ekonomi serta menyusun semula struktur guna tenaga negara agar mencerminkan masyarakat berbilang kaum.

Beliau juga berkata kerajaan pada dasarnya berusaha menjamin dan mengekalkan hakhak istimewa orang Melayu dan kaum bumiputera Sabah dan Sarawak, tetapi pada masa sama tidak menafikan hak individu lain untuk memiliki sebarang kemudahan yang diperolehinya secara sah di bawah undang-undang yang ditetapkan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan