Khidmat masyarakat sebagai hukuman tidak hadir PLKN disokong

Diterbitkan: Isnin, 15 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Cadangan mengenakan tindakan khidmat masyarakat sebagai hukuman kepada pelatih yang gagal melaporkan diri untuk Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mendapat sokongan anggota Parlimen yang membahaskan Rang Undang-Undang PLKN (Pindaan) 2008 di Dewan Rakyat, hari ini.

Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) berkata beliau menyokong pindaan rang undang-undang itu tetapi mahu takrif 'khidmat masyarakat' diperjelas secara terperinci.

"Adakah aktiviti khidmat masyarakat itu meliputi kerja-kerja berat atau adakah anak-anak kita perlu melakukan khidmat masyarakat itu di hadapan orang ramai seperti banduan.

"Ini mungkin memalukan mereka dan menyebabkan kesan psikologi," katanya.

Cadangan tersebut terkandung dalam Rang Undang-undang Latihan Khidmat Negara (Pindaan) 2008 yang dibentangkan oleh Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Wira Abu Seman Yusop untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat Isnin.

Rang Undang-undang itu bertujuan untuk membenarkan mahkamah memerintahkan seseorang pesalah yang tidak menghadiri latihan khidmat negara untuk melaksanakan khidmat masyarakat sebagai bentuk hukuman dan bukan didenda atau dipenjara.

Sebelum ini, seseorang pelatih yang gagal menghadiri program berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Nasharudin Mat Isa (PAS-Bachok) berkata cadangan itu wajar dipertimbangkan kerana hukuman penjara akan meninggalkan rekod yang tidak baik untuk mereka yang didapati bersalah.

"Saya juga harap kerajaan meneliti semula modul-modul PKLN bagi memastikan pembentukan jati diri dan disiplin pelatih dapat dibentuk," katanya.

Yussof Mahal (BN-Labuan) turut menyokong pindaan rang undang-undang itu tetapi menggesa kerajaan supaya meningkatkan kualiti pusat-pusat latihan PLKN yang ada.

Beberapa isu berkaitan PLKN turut dibangkitkan dalam perbahasan itu seperti integrasi kaum, masalah disiplin, profesionalisme jurulatih dan kebersihan serta keselamatan kem.

Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) berkata melalui pemerhatian beliau semasa menjadi ahli jawatankuasa PLKN, pergaulan antara kaum yang berlaku di kem-kem PLKN adalah berbentuk 'cetek' dan tidak mendalam.

"Saya lihat semasa menjalani aktiviti modul, pergaulan antara peserta PLKN memang baik kerana mungkin mereka terpaksa bergaul, tetapi semasa waktu rehat, pergaulan yang mengikut kaum masing-masing berterusan," katanya.

Khairy berkata corak pergaulan antara kaum di kalangan peserta PLKN harus dikaji secara mendalam untuk melihat sama ada modul PLKN perlu direka semula atau tidak.

Persidangan Dewan Rakyat disambung esok. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan