Khalid: Bukan niat PAS gesa SIS diharamkan

Diterbitkan: Ahad, 14 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: PAS tiada niat langsung untuk menggesa kerajaan menggunakan kaedah keras terhadap Sisters in Islam (SIS) termasuk mengharamkannya sama sekali ekoran peranan badan itu yang disifatkan oleh parti itu sebagai sudah terpesong daripada syariat Islam.

Sebaliknya, Yang Dipertua PAS Shah Alam, Khalid Samad berkata, isu tersebut menjadi kontroversi sepanjang minggu lalu ekoran "kesilapan" bahagian tersebut.

Jelas beliau, wujud kesilapan dari segi penggunaan perkataan sesuai dalam usul berkenaan yang telah dihantar untuk tindakan susulan PAS Pusat.

Khalid menyatakan demikian kira-kira seminggu selepas usul berkenaan diterima tanpa bahas pada Muktamar Tahunan PAS Pusat Ke-55 di sini Ahad lalu.

"Niat kami bukan meminta agensi kerajaan mengambil tindakan kekerasan seperti mengharamkan, memenjarakan, menahan atau menangkap ahli-ahli SIS," kata beliau pada sidang media untuk menjelaskan keadaan sebenar di sebalik penerimaan usul berkenaan, di pejabatnya di sini petang tadi.

PAS Shah Alam mengadakan mesyuarat pagi tadi membincangkan isu berkenaan.

"Saya akui wujud kesilapan... kesilapan menggunakan perkataan yang sesuai sebelum dihantar kepada PAS pusat (untuk diterima ke muktamar)," katanya.

Khalid menjelaskan, beliau telah menyedari kesilapan menggunakan perkataan yang "agak keras" dalam usul tersebut ketika mesyuarat PAS Shah Alam pada 23 April lalu.

Sehubungan itu, katanya, beliau telah meminta Dewan Muslimat Shah Alam yang mengemukakan usul berkenaan supaya memperbaiki dengan menggunakan perkataan yang lebih lembut dari sudut "politik".

Bagaimanapun, usul itu telah dihantar terus ke PAS Pusat tanpa diambil tindakan pindaan yang diputuskan, kata Khalid.

Usul berkenaan dibawa oleh PAS kawasan Shah Alam. Khalid juga merupakan Ahli Parlimen Shah Alam.

Dewan Muslimat Shah Alam bermesyuarat pada 12 April dan dibawa ke Mesyuarat Tahunan PAS Shah Alam pada 19 April.

Kemudian usul berkenaan terus dipanjangkan kepada Jawatankuasa Usul Muktamar PAS Pusat dan dijadikan usul diterima tanpa dibahas.

Usul itu berbunyi:

"Menyedari bahawa aliran dan pandangan yang dibawa oleh Sisters in Islam boleh mengelirukan masyarakat;

"Menginsafi pendekatan mereka mudah meresapi pemikiran dan mengancam akidah umat Islam terutamanya golongan muda dan berpendidikan sekular;

"Maka Muktamar PAS Pusat yang bersidang hari ini di Stadium Malawati, Shah Alam mengusulkan dan membuat ketetapan:

"Mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan membuat penyelidikan ke atas SIS yang membawa aliran Islam liberal dan seterusnya mengharamkan pertubuhan tersebut sekiranya terbukti bertentangan dengan syariat Islam serta membuat program pemulihan ke atas ahli-ahlinya."

DIKECAM

Kandungan usul itu disokong banyak pihak dalam PAS.

Bagaimanapun ada juga pihak yang tidak bersetuju dengan kandungan usul sedemikian.

Ia juga dikecam oleh komponen Pakatan Rakyat yang turut dianggotai PAS. Malah ada yang mengesyorkan nama SIS ditukar bagi mengelakkan salah tanggapan tersebut pertubuhan bukan kerajaan itu.

Pengurus Kanan SIS, Maria Chin Abdullah menegaskan, pertubuhan yang sudah wujud 20 tahun itu sentiasa berpegang kepada ajaran Islam sebagai agama yang membawa keadilan kepada seluruh umatnya.

Jelas beliau SIS berpegang teguh dengan prinsip dan matlamat untuk membantu golongan wanita Islam yang berada dalam kesusahan.

KHALID TERKEJUT

Ketika mengulas lanjut, Khalid berkata, beliau sebenarnya terkejut apabila dimaklumkan kandungan dalam usul sedemikian oleh wartawan pada Ahad lalu.

Ini kerana katanya, beliau beranggapan bahawa usul tersebut telah dipinda dengan menggunakan kata-kata yang lebih sesuai.

Walaupun ada yang bersetuju dengan ayat asal berkenaan, jelas Khalid, dari segi politik perkataan "mengharamkan" membawa persepsi yang berbeza.

"Saya sudah lama dalam politik, saya tahu perkataan-perkataan yang boleh disalah tafsir... sebab itu saya meminta Dewan Muslimat melakukan satu pindaan dan saya serahkan kepada Dewan Muslimat untuk melakukannya," kata beliau.

Ketika ditanya mengenai kata-kata yang sesuai, Khalid memberitahu, pihaknya memutuskan agar digunakan ayat "mengambil tindakan yang sesuai" jika didapati melakukan perkara-perkara tidak betul.

Justeru, katanya, tindakan perbincangan dan perundingan bagi membetulkan peranan SIS adalah lebih baik berbanding penggunaan pendekatan keras seperti diharamkan.

Khalid berkata, memang banyak pendirian SIS yang PAS tidak setuju.

"Kita rasakan bercanggah dengan hukum Islam itu sendiri... tetapi apa yang dimaksudkan di sebalik usul itu supaya tindakan diambil dan diperbetulkan," katanya.

Khalid juga menjelaskan bahawa beliau hanya mengadakan sidang media hari ini untuk menjelaskan keadaan sebenar kerana pegawai PAS kawasan Shah Alam yang bertanggungjawab terhadap urusan usul sedang menunaikan umrah.

"Beliau sepatutnya balik semalam tetapi dimaklumkan hanya akan kembali Selasa ini, tetapi hari Selasa sudah lewat sangat dan saya memutuskan untuk menjelaskan isu ini hari ini," katanya.

DISABOTAJ

Bagaimanapun Khalid menafikan beliau telah disabotaj oleh pihak-pihak tertentu dalam parti dengan tidak mematuhi keputusan supaya melakukan pindaan sebagaimana dipersetujui.

"Tak ada, tak adalah... ini sebenarnya satu restu juga... kerana isu ini, sekurang-kurangnya bila isu ini timbul, saya dapat jelaskan kepada anda, lihat dari sudut positif," katanya lagi.

Khalid berkata, PAS Shah Alam akan menulis surat kepada pucuk kepimpinan pusat bagi menjelaskan keadaan sebenar.

Apabila ditanya sama ada akan menarik balik usul berkenaan, kata Khalid, pihaknya menyerahkan kepada pucuk kepimpinan untuk memutuskan soal tersebut.

Sama ada akan meminta maaf atas kontroversi ini, Khalid berkata:

"Kalau nak minta maaf, saya kena minta maaf pada PAS kerana disebabkan tindakan tidak betulkan usul ini, ia memberi persepsi yang salah kepada PAS."

Khalid juga mengakui kontroversi tersebut telah menyebabkan persepsi PAS "sedikit tercalar."

DIHUBUNGI SIS

Pada sidang media hari ini, Khalid memberitahu, PAS bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan SIS dan perkara itu juga telah dimaklumkan kepada pegawai kanannya.

Jelasnya, Pengurus Kanan SIS, Maria Chin Abdullah ada menghubungi beliau baru-baru ini mengenai isu berkenaan.

"Maria Chin ada menelefon saya dan saya memaklumkan beliau bahawa kalau nak adakan forum, saya sentiasa mengalu-alukannya," katanya.

Bagaimanapun jelas Khalid, satu panggilan itu tidak memberikan tekanannya sehingga terpaksa menjelaskan isu berkenaan.

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan