Kempen "1 Sarawak, 1 Harga" atasi beban pengguna luar bandar

Diterbitkan: Ahad, 14 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TEBEDU (SARAWAK): Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan melancarkan kempen "1 Sarawak 1 Harga" bermula 1 Julai ini sebagai langkah untuk membantu meringankan beban pengguna di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pengguna di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak masih lagi menghadapi masalah harga barang yang tinggi termasuk harga barang kawalan yang telahpun diberi subsidi oleh pihak kerajaan seperti gula pasir, roti putih, petrol dan gas petroleum cecair (LPG).

"Walaupun terdapat akta kawalan harga untuk mengatasi masalah kenaikan harga barang, namun penjual di kawasan pedalaman masih lagi menjual barang seperti gula dan petrol pada harga yang tinggi daripada harga subsidi dan ia pastinya tidak adil kepada pengguna di luar bandar yang turut melibatkan golongan berpendapatan rendah," katanya kepada pemberita selepas melawat koperasi di Kampung Tebakang Bidayuh dan Kampung Tebakang Melayu, di sini hari ini.

Beliau berkata melalui kempen itu, satu daripada koperasi di sesuatu kawasan itu akan dipilih untuk menjadi pemborong kepada koperasi lain di kawasan terbabit dan segala kos pengangkutan barangan akan ditanggung oleh kerajaan.

Melalui kempen itu, harga barangan akan diseragamkan katanya dan menurutnya projek perintis kempen itu akan bermula di Daerah Serian di sini melibatkan 10 buah koperasi.

Menurutnya jika projek perintis itu berjaya, ia akan diperluaskan ke kawasan luar bandar dan pedalaman lain di Sarawak dan juga Sabah.

"Konsep koperasi dilihat satu konsep yang baik kerana ia bukan menguntungkan sesuatu pihak sahaja sebaliknya kepada ahli koperasi yang biasanya akan menerima dividen dan rebat setiap tahun selain pengguna termasuk bukan ahli koperasi akan berpeluang menikmati harga barang yang sama seperti di bandar," katanya.

Sarawak mempunyai 498 koperasi dengan 413,125 anggota dan tahun lalu berjaya mencatat keuntungan sebanyak RM13.4 juta.

Ismail berkata selain koperasi, kementerian juga akan melantik syarikat pemborong dan pembekal yang terpilih di sesuatu kawasan luar bandar atau pedalaman untuk menjadi pusat pengedaran utama kepada kedaikedai runcit berdekatan.

Katanya kementerian akan cuba memastikan masalah harga barang yang tinggi di luar bandar dan pedalaman dapat segera diatasi sebelum tahun 2010. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan