Perbicaraan Anwar mohon dokumen kes liwat pada 22 Jun

Diterbitkan: Jumaat, 12 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Permohonan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pihak pendakwaan menyediakan beliau dengan semua dokumen berkaitan kes liwatnya ditetapkan perbicaraan pada 22 Jun.

Peguam Anwar, S.N.Nair berkata beliau diberikan notis oleh mahkamah itu mengenai perkara berkenaan yang akan didengar oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah pada hari berkenaan.

Rabu lepas, Anwar memfailkan satu notis usul meminta mahkamah memaksa pendakwaan menyediakan beliau dengan dokumen itu sebelum perbicaraan mengenai kes liwatnya didengar bermula pada 1 hingga 24 Julai.

Antara dokumen yang beliau mahukan ialah rakaman asal Kamera Litar Tertutup (CCTV) yang diambil di beberapa lokasi di tempat kejadian itu di Desa Damansara Condominium, Jalan Setia Kasih, Bukit Damansara dari 25 hingga 27 Jun, 2008, sampel DNA, kenyataan daripada saksi termasuk pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan, polis dan beberapa dokumen lain.

Beliau memohon kepada mahkamah untuk melepas dan membebaskan beliau dengan segera daripada pertuduhan liwat atau menggantung proseding mengenai kes liwat nya dengan tetap jika pendakwaan tidak mematuhi perintah mahkamah itu untuk membekalkannya dengan dokumen berkenaan.

Anwar, 61, menghadapi pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, di Unit 1151, Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, tahun lepas. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan