Malaysia saran rondaan terkoordinasi di Ambalat bagi elak salah faham

Diterbitkan: Jumaat, 12 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JAKARTA: Panglima Angkatan Tentera Malaysia Tan Sri Abdul Aziz Zainal semalam berkata Malaysia menyarankan kepada Indonesia supaya rondaan terkoordinasi dijalankan oleh tentera kedua-dua negara di sekitar Batu Unarang, Ambalat demi mengelak salah faham sehingga mencetuskan isu panas.

Katanya cadangan itu telah disampaikan kepada Menteri Pertahanan Indonesia Juwono Sudarsono ketika beliau mengadakan pertemuan dengannya di sini semalam dan Indonesia kelihatannya menyambut baik saranan Malaysia itu.

"Pihak Indonesia menyambut positif cadangan tersebut dan akan menyampaikannya kepada pimpinan tertinggi Republik Indonesia," katanya pada sidang media di akhir lawatannya di sini.

Menjelaskan lanjut bentuk rondaan itu, beliau berkata ia bukan rondaan bersama tetapi lebih kepada penentuan laluan rondaan bagi mengelak berlakunya provokasi oleh armada laut kedua-dua buah negara.

"Bagi tujuan ini, pertukaran pegawai perhubungan dari tentera Indonesia akan ditempatkan di Malaysia (Sandakan) dan pegawai dari Angkatan Tentera Malaysia ditempatkan di Indonesia (Tarakan atau Nunukan)," katanya.

Abdul Aziz berkata pegawai perhubungan keduadua pihak bertanggungjawab untuk mengkoordinasi sebarang kegiatan di kawasan terlibat.

Katanya selepas cadangan itu dipersetujui oleh keduadua pihak, pelaksanaannya akan diperincikan oleh jawatankuasa bersama yang akan bersidang secepat mungkin.

Beliau menganggap pertemuan dengan Juwono itu membuahkan hasil yang positif untuk meredakan ketegangan yang begitu kuat reaksinya di Indonesia.

"Ini adalah langkah sementara sehingga jawatankuasa teknikal yang dilantik oleh keduadua kerajaan mengemukakan penetapan sempadan maritim yang jelas," katanya, sambil menegaskan bahawa Malaysia tidak pernah berniat untuk mengambil langkah provokasi terhadap Indonesia.

Katanya, ia berpunca daripada salah faham lantaran tiada kejelasan garis sempadan di kawasan tuntutan bertindih oleh Malaysia-Indonesia.

Ambalat adalah blok laut seluas 15,235 kilometer persegi yang terletak di laut Sulawesi atau Selat Makassar. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan