Lebih ramai kakitangan awam diambil menjelang akhir

Diterbitkan: Jumaat, 12 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) giat berusaha memenuhi 50,000 kekosongan jawatan dalam perkhidmatan awam menjelang akhir tahun ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T. Murugiah.

Beliau berkata kekosongan itu termasuk 5,000 jawatan doktor, 5,000 jururawat, 300 jurutera, 800 Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) dan yang lain bagi pelbagai kategori pegawai biasa dan kakitangan sokongan.

Kerajaan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia melanjutkan pendidikan dalam bidang perubatan untuk membantu kerajaan mengatasi kekurangan doktor, katanya kepada Bernama di sini.

Beliau menambah bahawa lebih banyak biasiswa dan pinjaman diperoleh untuk rakyat Malaysia mengikuti kursus perubatan tempatan dan luar negara.

Pada masa yang sama, katanya Kementerian Kesihatan mengkaji kemungkinan mengambil doktor asing untuk memenuhi kekosongan itu.

Murugiah berkata, sungguhpun jumlah jururawat yang sedang dilatih mencukupi di negara ini, kebanyakkannya berminat untuk berkhidmat di luar negara kerana gaji dan kemudahan yang lebih baik.

Beliau berharap rakyat Malaysia mengambil peluang ini untuk memenuhi pelbagai kekosongan kerana kerajaan telah memperbaiki skim gaji dan kemudahan untuk kakitangan awam.

Mereka yang berminat boleh memohon jawatan ini melalui dalam talian www.spa.gov.my.

Untuk keselesaan pemohon luar bandar khasnya di Sabah dan Sarawak, beliau berkata SPA akan menjalankan temuduga di bandar kawasan itu. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan