Hadi pertahan syor SIS diharam, bukan NGO Islam

Diterbitkan: Khamis, 11 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan Sisters in Islam (SIS) sebagai pertubuhan bukan Islam kerana pandangan yang dikeluarkan pertubuhan tersebut bercanggah dengan ajaran Islam.

Malah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata sebahagian ahli SIS tidak mempunyai kelayakan untuk bercakap mengenai agama Islam.

"Kepada kita itu (SIS) bukan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) Islam kerana banyak pandangan bercanggah dengan Islam dan salah gunakan Islam.

"Malah ada antara mereka tak layak bercakap mengenai agama Islam," katanya di sini hari ini.

Isu ini timbul ekoran usul yang diluluskan pada Muktamar Tahunan PAS Ke-55 agar SIS diharamkan sekiranya didapati pertubuhan itu mengancam akidah umat Islam di negara ini.

Ditanya sama ada PAS mempunyai perancangan untuk menyelesaikan isu berkenaan, Abdul Hadi berkata perkara tersebut perlu diselesaikan oleh pihak kerajaan.

"Itu bidang kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri.

"Sepatutnya mereka menangani hal ini, kita hanya beri pandangan kerana sebahagian dari mereka (SIS) bukan ahli dalam ilmu Islam," katanya.

Jelas Abdul Hadi, PAS juga pernah mengadakan perbincangan dengan SIS bagi memperbetulkan pandangan mereka mengenai Islam.

"Kita pernah mengadakan perbincangan dahulu dengan SIS untuk memperbetulkan pandangan mereka tentang Islam.

"Kita pernah hantar Dr Mariah Mahmud menghadiri majlis SIS dan menegur pandangan mereka yang bercanggah dengan Islam," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan