Mewajibkan Bahasa Inggeris bebankan pelajar luar bandar - Exco Kelantan

Diterbitkan: Rabu, 10 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BHARU: Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Islam dan Dakwah, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berpendapat langkah mewajibkan pelajar lulus Bahasa Inggeris dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membebankan pelajar luar Bandar.

"Langkah itu menunjukkan kerajaan tidak prihatin terhadap suara rakyat dalam menangani isu itu kerana belumpun selesai isu penggunaan Bahasa Inggeris dalam subjek Sains dan Matematik, rakyat sekali lagi dibebankan dengan isu baru mewajibkan lulus bahasa Inggeris," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Tilawah al-Quran peringkat negeri, di Balai Islam, di sini malam tadi.

Mohd Amar berkata sepatutnya kerajaan terlebih dahulu menyelesaikan isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sebelum mengumumkan dasar baru mewajibkan pelajar lulus Bahasa Inggeris.

"Kalau kerajaan boleh memaksa pelajar mengambil dan lulus subjek Bahasa Inggeris dalam SPM mengapa tidak berbuat demikian terhadap mata pelajaran agama Islam?

"Mata pelajaran agama hanya wajib diambil oleh pelajar yang menduduki peperiksaan SPM tetapi tidak wajib lulus, sedangkan Bahasa Inggeris wajib lulus, ini menunjukkan ada elemen pilih kasih," katanya.

Beliau berpendapat, hanya 10 peratus sahaja rakyat kawasan bandar yang bersetuju dengan penggunaan bahasa Inggeris dalam subjek Sains dan Matematik, ia tidak mewakili keseluruhan pelajar di negara ini, terutama penduduk luar bandar.

Mohd Amar berkata beliau tidak nampak, mengapa kerajaan sanggup mempertahan isu PPSMI kerana ia tidak mencerminkan keprihatinan terhadap keseluruhan suara rakyat.

Ditanya mengenai langkah mengehadkan pengambilan 10 subjek bagi mata pelajaran dalam peperiksaan SPM, Mohd Amar berkata, isu itu tidak perlu diperbesarkan.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri akan mengadakan kelas khas Al-Quran bagi para qari negeri itu selepas mendapati mutu bacaan mereka semakin menurun setiap tahun.

Mohd Amar berkata markah para qari dalam majlis tilawah peringkat daerah dan negeri didapati menurun sehingga 70 peratus berbanding 95 peratus sebelum ini.

Kelantan berada di puncak kegemilangan dalam bidang bacaan al-Quran sekitar tahun 70-an dan 80-an di mana ketika beberapa qari dan qariah Mohd Som Pergau dan Faridah Mat Saman menjuarai tilawah hampir setiap tahun dengan mutu bacaan mencapai markah hampir 100 peratus. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan