Kepimpinan DAP perlu beri penjelasan isu ADUN salah laku

Diterbitkan: Rabu, 10 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

NIBONG TEBAL: Ketua bahagian DAP Nibong Tebal Teh Hock hari ini membidas pucuk pimpinan parti itu di Pulau Pinang yang didakwanya gagal mengambil tindakan sewajarnya berhubung aduan salah laku terhadap seorang wakil rakyatnya.

Beliau mendakwa kepimpinan DAP terus membisu dan berdiam diri walaupun perbuatan wakil rakyat dari kawasan Seberang Perai Selatan itu telah dimaklumkan kepada mereka lebih dua bulan lalu.

Katanya, aduan berhubung salah laku itu, yang didakwanya berkaitan dengan peruntukan wakil rakyat, bukan sahaja dimaklumkan kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng, yang juga Setiausaha Agung DAP, malahan kepada Pengerusi DAP Negeri, Chow Kon Yeow.

"Saya kecewa kerana tiada tindakan atau sebarang jawapan yang diberi berhubung aduan berkenaan dan tindakan itu adalah tidak betul. Kerajaan negeri mahu melaksanakan pentadbiran yang telus, cekap dan berakauntabiliti (CAT) dan kita tidak boleh biarkan orang sendiri buat perkara yang tidak betul," katanya pada sidang akhbar di bangunan Persatuan Hokkien, Nibong Tebal, di sini.

Menurutnya, beliau menerima aduan daripada seorang anggota jawatankuasa sebuah persatuan amal berkaitan dengan permohonan mendapatkan peruntukan sebanyak RM2,000 daripada wakil rakyat itu untuk membeli seunit televisyen, pemain DVD dan instrumen untuk aktiviti persatuan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau mendakwa, nilai televisyen dan pemain DVD yang dibekalkan oleh wakil rakyat itu hanya sekitar RM450 tetapi tuntutan yang dikemukakan wakil rakyat itu kepada Jabatan Pembangunan di Pejabat Daerah SPS genap RM2,000.

Selepas menerima aduan itu, perkara berkenaan dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang dan beliau serta pengadu telah disoal siasat oleh pegawai suruhanjaya itu pada 15 April lalu.

Teh berkata, pada 17 April beliau menemani pegawai SPRM Ke Jabatan Pembangunan untuk mendapatkan dokumen tuntutan peruntukan yang dibuat wakil rakyat itu dan pegawai berkenaan telah mengambil gambar barang bukti serta menyoal siasat beberapa saksi di premis persatuan itu.

"Bulan lepas, saya tanya perkembangan perkara itu kepada SPRM dan saya dimaklumkan bahawa perkara ini masih dalam siasatan," katanya.

Katanya, setelah beberapa kali bertanya kepada pucuk pimpinan parti, beliau mendakwa diminta supaya tidak campur tangan dalam hal ini kerana ADUN itu adalah dari parti yang sama dan tidak mahu pilihan raya kecil berlaku lagi di negeri ini. Beliau berkata, tindakannya mendedahkan perkara ini kepada media bukan bermotifkan politik atau hendak memalukan parti dan kerajaan negeri tetapi mahu mereka membetulkan keadaan kerana bertanggungjawab kepada rakyat.

"Saya orang yang ikut buku. Kalau Barisan Nasional (BN) tidak betul kita akan tegur dan kalau parti sendiri tidak betulpun kita kena tegur juga," kata bekas tentera itu.

Katanya, beliau bersedia menerima hukuman daripada parti atau tindakan undang-undang berhubung pendedahan ini kerana sebagai rakyat bertanggungjawab, setiap sen wang rakyat harus dibelanjakan dengan cara yang betul.

Teh berkata, jika tiada jawapan daripada kerajaan negeri dan parti sehingga 15 Jun ini, beliau akan membuat aduan berhubung beberapa lagi dakwaan salah laku ADUN terbabit di ibu pejbat SPRM di Putrajaya dan membawa perkara itu kepada pengetahuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengarah SPRM Pulau Pinang, Latifah Md Yatim ketika dihubungi Bernama enggan mengulas mengenai perkara itu dan meminta mendapatkan pengesahan daripada pengadu sendiri manakala Chow juga tidak dapat dihubungi kerana sedang menghadiri mesyuarat exco di Komtar.

Sementara itu, wakil rakyat berkenaan ketika dihubungi menafikan dakwaan Teh itu dan menjelaskan urusan tender barangan yang dipohon oleh persatuan itu dibuat oleh Pejabat Daerah dan tiada kaitan dengannya.

"Saya serahkan permohonan mereka kepada pejabat daerah dan selepas itu, tidak tahu menahu lagi mengenai perkara itu kerana tendernya diuruskan pegawai pejabat berkenaan," katanya.

Katanya, beliau telah memberi keterangan kepada SPRM di Butterworth dua atau tiga minggu lalu dan gembira siasatan itu dilakukan kerana jika tidak orang akan percaya dengan tohmahan yang dilemparkan kepadanya.

Katanya, beliau akan melihat cerita yang keluar di akhbar mengenai perkara itu esok dan menentukan bentuk tindakan selanjutnya selepas itu.

"Hujah-hujah dia (Teh) tidak berasas. Kalau betul saya buat salah, SPRM tidak akan lepaskan saya,"katanya. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan