Pelbagai pihak kecam PAS berhubung usul haramkan SIS - Berita Semasa | mStar

Pelbagai pihak kecam PAS berhubung usul haramkan SIS

Diterbitkan: Selasa, 9 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil semalam mempertahankan Sister in Islam (SIS) daripada kecaman PAS yang meminta ia diharamkan jika aktivitinya bertentangan dengan Islam, dengan mengatakan "parti Islam perlu belajar menerima pandangan yang berbeza".

Shahrizat yang juga Ketua Wanita Umno berkata, jika PAS tidak boleh menerima pandangan yang berbeza daripada aktivis-aktivis wanita Islam, "bagaimana mereka boleh bertolak ansur dengan suara yang bertentangan daripada golongan bukan Islam?"

Walaupun kementerian itu tidak selalu mengadakan pertemuan bersemuka dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan atau individu-individu berhubung perkara-perkara tertentu, kementerian itu tidak pernah menghukum mereka, kata Shahrizat dalam satu kenyataan semalam.

PAS meluluskan usul pada Muktamarnya yang ke-55 Ahad lalu, yang mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan untuk mengharamkan SIS jika aktiviti pertubuhan itu didapati bertentangan dengan ajaran dan prinsip Islam.

Parti itu mendakwa aktiviti-aktiviti kumpulan itu "berbahaya" kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam. Usul itu turut mendesak supaya majlis tersebut memperkenalkan program pemulihan bagi ahli-ahli SIS supaya mereka boleh kembali ke "jalan agama yang benar".

Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP - sekutu PAS dalam Pakatan Rakyat turut tidak bersetuju dengan usul itu.

PKR menyatakan mereka tidak bersetuju dengan cadangan supaya ahli-ahli SIS menjalani "pemulihan".

"Kebebasan bersuara dan berpersatuan adalah prinsip yang begitu dihargai dalam negara moden dan demokrasi. Pandangan yang berbeza dan bertentangan (dan persatuan) bukan sahaja dibenarkan tetapi harus dilindungi kerana ia merupakan asas bagi masyarakat demokrasi dan adil," kata naib presidennya, Mustaffa Kamil Ayub.

DAP pula menyatakan, mereka mahu PAS memegang prinsip demokrasi dan kebebasan bersuara yang dipersetujui kedua-dua parti itu.

Setiausaha Kebangsaan Wanita DAP, Teresa Kok berkata, langkah mengharamkan pertubuhan itu adalah bertentangan dengan hak asasi manusia, sambil menambah SIS harus dibiarkan bebas untuk menyuarakan pendapat mereka.

"Untuk mengharamkan atau mengisytiharkan ia sebagai "haram' bermakna melakukan sesuatu dengan cara kuku besi yang tidak sepatutnya diamalkan," katanya dalam satu kenyataan.

Presiden Majlis Peguam Malaysia, Ragunath Kasavan pula berkata, dialog dan debat perlu dibenarkan dan pandangan yang berbeza perlu disuarakan.

Setiausaha Agung Wanita Gerakan, Jayanthi Devi Balaguru berkata, usul seperti itu menunjukkan hal ehwal wanita di negara ini masih belum matang.

Beliau berasa kecewa kerana dalam isu ini, agama telah digunakan untuk mewujudkan jurang dan memaksa.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan