Murugiah akan fail saman fitnah terhadap Kayveas

Diterbitkan: Selasa, 9 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kemelut politik Parti Progresif Penduduk (PPP) semakin kusut dengan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk T. Murugiah berkata beliau telah mengarahkan peguamnya untuk memfailkan saman fitnah terhadap Presiden PPP Datuk M. Kayveas.

Pada sidang media di sini hari ini, Murugiah berkata Kayveas mendakwa kononnya beliau terbabit dalam politik wang dengan membayar RM74,000 kepada seorang ketua bahagian PPP.

"Saya telah arahkan peguam saya memfailkan saman fitnah terhadap beliau (Kayveas). Dakwaannya itu telah mencemarkan maruah saya sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

"Kami akan failkan saman fitnah itu minggu depan. Saya perlu bersihkan nama saya," katanya.

Mengenai barisan baru PPP di bawah Kayveas, Murugiah, yang menegaskan bahawa beliau merupakan presiden yang sah parti yang dilanda krisis kepimpinan itu, berkata: "Biarlah beliau dengan barisan barunya.

"Saya tidak akan cakap apa-apa mengenainya kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah memutuskan untuk menunggu sehingga siasatan ROS (Pendaftar Pertubuhan) selesai. Buat masa ini, Kayveas hanya presiden sementara.

"Ini sama seperti apabila pilihan raya diumumkan. Perdana Menteri pada ketika itu hanya merupakan perdana menteri sementara. Kami perlu hormati dan berikan masa kepada ROS untuk membuat keputusan."

Murugiah juga meminta media agar lebih berhati-hati dalam laporan mereka dan tidak mengelirukan orang ramai yang sememangnya keliru, khususnya anggota PPP. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan