Malaysia-Thailand komited selesaikan masalah di selatan Thailand, kata Najib

Diterbitkan: Isnin, 8 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Malaysia dan Thailand memperbaharui komitmen mereka untuk menyelesaikan masalah di selatan Thailand, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Beliau berkata Malaysia telah diminta oleh Thailand untuk melanjutkan bantuan bagi pembinaan insaniah untuk belia di kawasan itu, terutamanya dalam menyediakan latihan vokasional dan biasiswa.

Perdana Menteri Thailand Abhisit Vejjajiva turut memohon bantuan Malaysia untuk melanjutkan kurikulum agama Islamnya bagi sekolah aliran agama di sana, kata Najib pada sidang media bersama dengan rakan sejawatnya dari Thailand itu di Pejabat Perdana Menteri di sini.

Abhisit, yang dalam rangka lawatan rasmi sehari ke Malaysia, dan Najib mengetuai delegasi masing-masing pada mesyuarat dua hala di venue yang sama sebelum itu.

Perdana Menteri Thailand itu berkata mewujudkan pelbagai peluang bagi golongan muda di selatan Thailand merupakan satu daripada faktor utama untuk mencapai keamanan, kestabilan dan keadilan di kawasan itu.

Abhisit berkata mewujudkan peluang ekonomi bagi kawasan itu juga akan menyumbang kepada kestabilan di wilayah itu dan keduadua negara boleh menggunakan jalinan ekonomi mereka untuk memenuhi keperluan itu.

Sebagai contoh, aktiviti ekonomi bagi golongan muda di kawasan itu boleh dibangunkan melalui Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMTGT), katanya.

Selatan Thailand mengalami pergolakan dan pengeboman sejak 2004.

Mengenai isu dua kewarganegaraan melibatkan rakyat Malaysia dan Thailand, Najib berkata mereka membincangkan perkara itu dan memutuskan keduadua belah pihak perlu mengkaji daripada segi cabaran teknikal, termasuk menyediakan pangkalan data yang betul.

Ditanya mengenai cadangan projek saluran gas antara Songkhla di Thailand dan Kota Perdana di Kedah, yang akan dibangunkan oleh pengeluar tenaga bebas Malaysia, SKS, Najib berkata perkara itu kini di bawah pertimbangan kerajaan Thailand.

Terdahulu, Najib, dalam ucapan pembukaan pada sidang media itu berkata hubungan dua hala kini berada di landasan lebih kukuh, dan keduadua negara kekal komited untuk memperkukuhkan dan meningkatkan lagi hubungan itu.

"Kami juga sedar akan hakikat bahawa tidak wujud masalah dua hala yang serius antara keduadua negara kerana kami mengambil sikap dan pendekatan yang amat positif," katanya.

Kedua-dua kerajaan, kata perdana menteri, boleh bekerjasama rapat antara satu sama lain dalam menangani sebarang masalah yang timbul.

Mengenai isu ekonomi, Najib berkata jumlah perdagangan antara kedua-dua negara juga berada pada trajektori positif.

"Jumlah perdagangan pada 2007 ialah sebanyak US$16.5 bilion manakala pada 2008 ia meningkat kepada US$18.2 bilion.

Diharapkan pada tahun ini, ia tidak terjejas dengan teruk oleh krisis ekonomi dan kewangan global," katanya.BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan