Kerajaan perpaduan: DAP mahu PAS jelaskan pendirian

Diterbitkan: Isnin, 8 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PULAU PINANG: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng meminta PAS memberi penjelasan kepada rakan dalam gabungan pembangkang berhubung cadangan Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membentuk kerajaan perpaduan.

Lim, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, penjelasan itu penting kerana DAP tidak pernah dimaklumkan atau bersetuju dengan penubuhan kerajaan perpaduan yang antaranya memerlukan kerjasama dengan Umno.

"PAS kena beri penjelasan berhubung perkara itu dan setahu saya ia tidak pernah dipersetujui, malah PAS tidak pernah membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi yang lepas.

"Apa kerajaan perpaduan yang PAS maksudkan? Sehubungan itu, mereka kena jawab dalam mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi akan datang," katanya kepada pemberita selepas majlis mengangkat sumpah jawatan Yang Dipertua MPPP yang baru, Tan Cheng Chui di sini, hari ini.

Katanya, mesyuarat itu dijangka diadakan dalam masa terdekat iaitu semasa persidangan Parlimen yang akan bermula minggu depan.

Abdul Hadi ketika merasmikan Muktamar PAS Ke55 minggu lalu menggesa supaya kerajaan perpaduan dibentuk bagi menyelesaikan masalah dalam negara secara menyeluruh.

Bagaimanapun, saranannya mengenai pembentukan kerajaan perpaduan itu bukan saja dipertikaikan oleh DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), malahan bekas pemimpin kanan parti itu sendiri. BERNAMA

BERITA TERDAHULU

GEORGE TOWN: DAP mahu PAS menjelaskan pendirian parti itu mengenai isu kontroversi idea penubuhan kerajaan perpaduan membabitkan kerjasama Umno-BN pada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat akan datang.

Perkara itu ditegaskan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng di sini hari ini.

Isu idea kerajaan perpaduan muncul semula semasa Muktamar Tahunan PAS Ke-55 yang berakhir semalam.

Semalam, Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa berkata, Presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan memberi penjelasan mengenai konsep kerajaan perpaduan kepada pemimpin-pemimpin Pakatan daripada DAP dan Parti Keadilan Rakyat.

Nasharudin berkata, PAS tidak akan menyertai Umno atau Barisan Nasional (BN)dan beliau yakin kerisauan di kalangan pemimpin Pakatan akan dapat diselesaikan setelah Hadi memberikan penjelasan kepada mereka.

Perbincangan antara PAS dan Umno bukanlah ke arah perkongsian kuasa tetapi lebih kepada kesejahteraan rakyat dan negara.

Idea itu turut mendapat bantahan perwakilan PAS sendiri yang tidak bersetuju dengan perbincangan antara parti itu dan Umno.

Hadi dalam ucapan dasar pada Muktamar Tahunan PAS Ke-55 Jumaat lalu yakin idea bagi mewujudkan kerajaan perpaduan antara PAS dengan Umno yang beliau cadangkan sebelum ini dapat dilaksanakan di masa akan datang jika semua pihak memahami hasrat penubuhannya.

Katanya, hasrat itu digagaskan selepas pilihan raya umum Mac tahun lepas dengan tujuan mencari jalan kompromi dalam pembentukan kerajaan pada ketika itu dan ia diterima secara positif bukan sahaja dalam kalangan pemimpin pakatan pembangkang malah pemimpin Umno sendiri.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan