80-90 peratus ibu bapa mahu anak sertai PLKN

Diterbitkan: Isnin, 8 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Kira-kira 80 hingga 90 peratus ibu bapa mahu anak mereka menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dengan ada sesetengahnya mahu anak mereka menyertai program itu secara sukarela di manamana pusat latihan PLKN di negara ini, kata Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) Datuk Dr Tiki Lafe.

"Semakin ramai ibu bapa yang faham dan tahu faedah menyertai PLKN dan tahun ini kita menerima hampir 3,000 peserta yang mahu menyertai program secara sukarela," katanya kepada pemberita selepas menyambut ketibaan pelatih PLKN Kumpulan 2 Siri 6/2009 dari Semenanjung yang tiba di sini hari ini.

Katanya objektif utama PLKN iaitu memupuk perpaduan di kalangan pelatih, meningkatkan disiplin, semangat bekerjasama dalam pasukan dan semangat sukarela berjaya menarik minat ibu bapa yang mahu anak mereka menyertai program tersebut.

Menurutnya tahun ini jumlah peserta PLKN yang menyertai program itu meningkat sebanyak 10 peratus iaitu seramai 140,000 berbanding tahun lepas.

Berkenaan kemudahan yang ada, Dr Tiki berkata pihaknya akan cuba memastikan kemudahan yang digunakan mencukupi untuk menampung jumlah pelatih yang semakin bertambah dari semasa ke semasa. Katanya MLKN akan cuba mengatasi segera beberapa masalah yang dihadapi oleh beberapa pusat latihan ketika ini termasuk dua pusat latihan yang terpaksa ditutup sejak 2008 iaitu di Sepitang, Sabah dan Balik Pulau di Pulau Pinang kerana masalah tanah runtuh.

"Kita sekarang mempunyai 83 sahaja kem di seluruh negara yang masih digunakan serta perlu diperbaiki dan kita memang kekurangan fasiliti selain kekurangan tenaga pengajar," katanya.

Mengulas kenyataan beliau semalam berhubung remaja 18 tahun ke atas wajib menyertai PLKN menjelang 2014, Dr Tiki berkata pihak media tersilap melaporkan perkara itu.

"Media tersilap laporan, kita masih lagi belum bersedia untuk ke arah itu, saya tidak ada kata pun begitu kerana kita masih lagi kekurangan fasiliti," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan