Influenza H1N1: Pelancong Amerika dimasukkan ke hopsital kerana demam panas - Berita Semasa | mStar

Influenza H1N1: Pelancong Amerika dimasukkan ke hopsital kerana demam panas

Diterbitkan: Ahad, 7 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PULAU PINANG: Seorang pelancong Amerika Syarikat yang baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL) malam ini dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas mengalami demam panas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Masyarakat Penyayang Phee Boon Poh berkata tindakan itu sebagai langkah berjagajaga kerana pelancong berusia 46 tahun itu didapati mempunyai salah satu simptom virus influenza A (H1N1).

"Dia belum disahkan membawa virus itu, tetapi ia sebagai langkah berjagajaga kerana lelaki itu datang dari Bangkok. Kita bimbang dia dijangkiti virus berkenaan semasa berada di sana.

"Lelaki itu mengalami demam dengan suhu yang tinggi sejak berada dalam pesawat, bagaimanapun dia dilaporkan dalam keadaan stabil," katanya ketika dihubungi Bernama di sini malam ini.

Beliau berkata penerbangan TG 421 Thai Airways International dari Bangkok itu tiba di LTABL pada pukul 8.45 malam ini dan pihak Jabatan Kesihatan telah dimaklumkan berhubung perkara itu lebih awal untuk bersiap sedia membawa lelaki terbabit ke HPP.

Katanya sampel darah lelaki itu akan diambil dan dihantar ke Kuala Lumpur untuk ujian lanjut esok.

"Ketika ini kita sedang mengumpul maklumat semua penumpang dalam penerbangan TG 421 sebagai langkah berjagajaga untuk tindakan susulan," katanya. BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan