Wanita Umno Perak bantu pilihan raya kecil DUN Manek Urai

Diterbitkan: Sabtu, 6 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Wanita Umno Perak menyediakan 24 pasukan yang akan digerakkan bagi membantu Barisan Nasional (BN) menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai di Kelantan pada 14 Julai ini.

Ketuanya Datuk Rusnah Kassim berkata pasukan tersebut akan berkampung di kawasan pilihan raya kecil itu mulai 20 Jun ini.

"Pasukan itu akan bergerak di sebuah kawasan yang mempunyai 2,029 pengundi bersama jentera BN yang lain daripada Gerakan, MCA dan MIC," katanya kepada pemberita di sini selepas merasmikan Pasar Tani Taman Perpaduan di Tambun.

Beliau berkata siri taklimat dan penerangan berhubung isu semasa dan setempat akan menjadi bekalan kepada pasukan berkenaan sebelum memulakan tugas di peringkat akar umbi.

"Pasukan kita akan bergerak secara lebih aktif dan penuh bersemangat untuk menguatkan jentera BN bagi menyalurkan sokongan padu kepada calon BN yang akan bertanding...bagaimanapun segala tugas dan aktiviti di situ akan dijalankan mengikut kesesuaian suasana pilihan raya nanti," katanya.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang daripada PAS, Ismail Yaakob pada 22 Mei lalu dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh penamaan calon pada 6 Julai dan pengundian pada 14 Julai. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan