Semua anggota PPP yang disingkirkan akan diterima kecuali Murugiah, kata Kayveas

Diterbitkan: Jumaat, 5 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Parti Progresif Penduduk (PPP) akan menerima semua anggota parti yang disingkirkan kecuali Senator Datuk T. Murugiah, kata Presidennya Datuk M. Kayveas, hari ini.

Beliau berkata ini kerana "Murugiah bukan sahaja telah merosakkan PPP tetapi juga Barisan Nasional (BN)."

"Semua anggota yang disingkirkan hanya dikelirukan oleh Murugiah dan oleh itu mereka boleh diterima," katanya kepada pemberita di Ibu pejabat parti di sini. Murugiah dan enam anggota yang lain disingkirkan bulan lepas kerana melanggar disiplin parti.

Kayveas dan Murugiah yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, telah terbabit dalam pertikaman lidah dengan masingmasing mendakwa sebagai Presiden sebenar parti itu.

Bagaimanapun, Pendaftar Pertubuhan dalam satu kenyataannya semalam mengesahkan bahawa Kayveas merupakan Presiden PPP yang sah dan tidak mempunyai halangan bagi parti itu mengadakan perhimpunan agung Ahad ini.

Surat pengesahan yang sama juga dihantar kepada Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan dibacakan pada persidangan berita itu.

Kayveas juga mengesahkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Pengerusi BN akan merasmikan perhimpunan itu di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Berhubung kedudukan Murugiah sebagai timbalan menteri mewakili PPP, Kayveas berkata: "Beliau terpaksa pergi, sekarang dia bukan lagi anggota PPP. Oleh itu, tiada platform bagi dia".

Katanya parti itu telah mempunyai seorang pengganti tetapi beliau tidak menamakannya.

Kayveas menang tanpa bertanding sebagai Presiden untuk penggal keempat pada pemilihan parti Sabtu lepas.

Katanya sejumlah 4,390 perwakilan dan 2,300 pemerhati akan menghadiri perhimpunan agung itu.

Sembilan yang lain akan bersaing bagi tiga jawatan Naib Presiden manakala 29 lagi bagi 25 jawatan anggota Majlis Tertinggi.

Sementara itu, Murugiah tetap berkeras bahawa beliau merupakan Presiden PPP yang sebenarnya kerana "saya dipilih oleh anggota parti pada mesyuarat agung luar biasa 24 Mei lalu."

"Saya tidak pasti sam ada Pendaftar mempunyai kuasa untuk memutuskan soal presidn kerana hanya anggota parti yang menentukannya," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan