Kerajaan akan tarik lesen syarikat jika terbabit kes Ah Long

Diterbitkan: Jumaat, 5 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menarik balik lesen syarikat pemberi pinjaman wang berlesen sekiranya terbukti mereka menjalankan kegiatan ah long dengan mengenakan kadar faedah yang tinggi kepada peminjam.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata pemberi pinjaman wang (PPW) berlesen hanya boleh mengenakan faedah pada kadar 12 peratus setahun untuk pinjaman bercagar dan 18 peratus setahun bagi pinjaman tidak bercagar.

"Kementerian menerima sebanyak 72 aduan pada tahun lepas dan kita dapati sebanyak 16 kes membabitkan syarikat (PPW berlesen) yang mengenakan kadar faedah yang lebih tinggi daripada kadar yang ditetapkan.

"Daripada jumlah ini sebanyak sembilan kes masih disiasat manakala lima kes telah selesai dan dua kes lagi masih dalam proses untuk didakwa di mahkamah," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar mengenai pemberi pinjaman wang di kementerian itu di sini hari ini.

Kong berkata kementerian itu bertanggungjawab mengeluarkan lesen kepada syarikat PPW sejak 2003 itu dan sentiasa memantau serta menjalankan penguatkuasaan terhadap PPW berlesen yang tertakluk di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

Beliau berkata pemantauan itu dibuat melalui kaedah pengurusan aduan orang ramai, pemeriksaan terhadap premis PPW berlesen dan pemeriksaan rekod transaksi PPW berlesen.

"Setakat ini 3,000 lesen telah dikeluarkan dan sepanjang tahun 2008 sebanyak 296 premis PPW telah diperiksa manakala kita telah membuat pemeriksaan ke atas lebih 2,500 penyata transaksi," katanya.

Selain itu, Kong turut menasihati orang ramai supaya tidak mendekati ah long untuk mendapatkan pinjaman segera sebaliknya menggunakan kemudahan yang disediakan oleh institusi kewangan seperti bank, koperasi dan syarikat PPW berlesen.

Sehubungan itu, orang ramai diminta bekerjasama dengan kementerian untuk membuat aduan secara rasmi sekiranya terdapat syarikat PPW berlesen yang melanggar akta dan peraturan agar tindakan segera dapat diambil, katanya.

Beliau berkata orang ramai boleh membuat semakan terhadap PPW berlesen menerusi talian 03-20992390 atau membuat aduan terus melalui emel kepada bpwg@kpkt.gov.my dan aduan itu akan dirahsiakan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan