Isu boikot majlis angkat sumpah YDP MPSP: Zahrain nafi beritahu Guang Eng

Diterbitkan: Jumaat, 5 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PULAU PINANG: Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang Datuk Zahrain Mohamed Hashim menafikan bahawa beliau telah memberitahu Ketua Menteri Lim Guan Eng bahawa tindakan sekumpulan ahli majlis memulaukan majlis angkat sumpah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) semalam berikutan Ketua Whip MPSP, Johari Kassim mahu memegang jawatan itu.

Zahrain dalam sidang akhbar malam ini berkata beliau ada berbincang dengan Lim mengenai tindakan kumpulan itu, bagaimanapun beliau tidak pernah menyebut bahawa tindakan Johari itu adalah berikutan Johari tidak berpuas hati kerana tidak dilantik sebagai YDP MPSP.

"Takkan saya nak kata Johari mahu kedudukan itu. Mungkin dia (Lim) tersilap dengar. Kita dah bincang perkara itu. Saya tak pernah kata macam itu," katanya.

Semalam, lapan daripada sembilan ahli majlis MPSP dari PKR memulaukan majlis pelantikan Mokhtar Jait kerana membantah tindakan Lim yang dikatakan tidak berunding dengan PKR mengenai pelantikan tersebut.

Johari mendakwa Lim tidak memanggil PKR dan PAS untuk berunding walaupun sebelum ini telah ada persetujuan di peringkat kepimpinan pakatan pembangkang itu bahawa pelantikan YDP MPSP perlulah dibuat di kalangan pemimpin politik dan jawatan itu diserahkan kepada PKR.

Lim dalam sidang akhbarnya pagi ini berkata bahawa beliau telah difahamkan oleh Zahrain bahawa tindakan memboikot majlis pelantikan Mokhtar dibuat berikutan Johari tidak berpuas hati kerana beliau tidak dilantik memegang jawatan itu.

Zahrain berkata tindakan Johari dan lapan lagi ahli majlis itu kerana perasaan tidak puas hati YDP MPSP tidak dilantik dari kalangan ahli politik.

"Bila pegawai kerajaan dilantik menjadi YDP, mereka rasa mereka diketepikan, sebab itu ada kekecewaan," katanya.

Katanya isu tidak puas hati itu timbul berikutan salah faham dan masalah komunikasi di mana ahli majlis PKR tidak mengetahui mengenai pelantikan Mohktar.

Beliau berkata PKR tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap kumpulan yang terlibat memboikot majlis itu kerana mereka telah menyesali perbuatan mereka.

MPSP mempunyai 24 ahli majlis dan daripada jumlah itu, 10 diwakili pemimpin DAP, sembilan PKR, dua Pas dan tiga daripada pertubuhan bukan kerajaan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan