Pelajar Malaysia pulang bercuti dari AS kes ketiga positif H1N1

Diterbitkan: Khamis, 4 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar Malaysia yang pulang bercuti dari Amerika Syarikat Isnin lepas merupakan kes ketiga positif influenza A (H1N1), umum Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Beliau berkata pelajar yang berusia 23 tahun itu telah menaiki Penerbangan Malaysia MH091 dari Amerika Syarikat dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 7.15 pagi Isnin lepas.

"Pelajar ini tidak mengalami demam semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, tetapi mula mengalami demam dan batuk semalam dan dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk menerima rawatan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pelajar itu disahkan menghidapi jangkitan influenza A (H1N1) oleh Institut Penyelidikan Perubatan pada 4 pagi tadi, dan beliau dalam keadaan stabil serta telah diberi rawatan antiviral, katanya.

Beliau berkata dengan itu, seramai 276 penumpang serta anak kapal penerbangan MH091 diminta menghubungi Kementerian Kesihatan untuk diberikan nasihat kesihatan serta keperluan kuarantin di rumah.

Kementerian juga sudah dapat mengesan kesemua 14 kontak terdekat pesakit itu hasil kerjasama keluarganya dan kini dikuarantin di rumah, kata Dr Mohd Ismail. "Mereka ini terdiri daripada 10 anggota keluarga pesakit dan pelawatnya, manakala empat orang lagi adalah kontak semasa mendapat rawatan di klinik kesihatan termasuk seorang pegawai perubatan," katanya.

Dr Mohd Ismail berkata sebanyak 24 notifikasi kes yang mempunyai tanda-tanda jangkitan influenza sekembali melawat negara yang terlibat dengan wabak itu diterima dari seluruh negara sehingga 12 tengah malam semalam.

Beliau berkata mereka yang hanya mengalami simptom jangkitan yang ringan disahkan satu kes positif melalui ujian makmal, manakala 23 kes lagi disahkan negatif.

Sehingga kini jumlah terkumpul kes yang disiasat kerana mendapat simptom jangkitan influenza selepas melawat negara terlibat adalah 411 dengan 398 disahkan negatif dan tiga kes positif, kata Dr Mohd Ismail.

Mengenai kes kuarantin di rumah, beliau berkata sehingga kini sebanyak 18 orang terlibat termasuk dengan pelajar yang disahkan dijangkiti hari ini dan empat kontak kepada kes di Hong Kong.

"Pertubuhan Kesihatan Sedunia melaporkan jumlah terkumpul kes infuenza adalah 19,535 kes dengan 117 kematian daripada 67 negara iaitu pertambahan sebanyak 1,833 kes dan dua kematian serta empat negara baru iaitu Mesir, Lubnan, Luxembourg dan Nicaragua," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan