PAS mahu buat dua kejutan di Sarawak

Diterbitkan: Khamis, 4 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TIMBALAN Presiden PAS ketika menyampaikan ucapan di Majlis Perasmian Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Pusat kali ke 49 di Shah Alam hari ini.
TIMBALAN Presiden PAS ketika menyampaikan ucapan di Majlis Perasmian Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Pusat kali ke 49 di Shah Alam hari ini.

SHAH ALAM: Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa berkata, parti itu akan membuat dua kejutan pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang dijangka tahun depan.

“Kita akan bawa kejutan yang akan membawa lontaran kepada masyarakat Malaysia,” katanya dalam ucapan perasmian Dewan Muslimat PAS pusat di Dewan Bankuet, Majlis Bandaraya Shah Alam di sini.

Menurut Nasharuddin, PAS sebagai sebuah organisasi politik perlu mengikut peredaran semasa. “Dua kejutan yang besar akan kita bawa dalam pilihan raya kecil DUN Sarawak. Insya-Allah keputusan itu nanti kita akan jadikan ia sebagai tapak untuk membuat kejutan itu nanti,” katanya.

Jelasnya, perkara tersebut telah dibincangkan di peringkat Jawatankuasa PAS pusat.

“Kita telah merancang beberapa pendekatan yang akan diambil dan ia agak baru. Apa pendekatan tersebut kita akan umumkan kemudian,” katanya.

Tambahnya, perkara tersebut akan diumumkan sebaik Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan mengenai tarikh pilihan raya di Sarawak.

Pada pilihan raya kecil DUN Sarawak pada tahun 2005 PAS telah meletakkan calonnya dan bertanding di Parlimen Batang Sadur, Parlimen Kota Samarahan dan DUN Muara Tuang.

“Dengan perkembangan politik semasa PAS akan menggunakan pendekatan-pendekatan lain selepas ini dan dalam pilihan raya di Sarawak kita cuba dahulu,” katanya

Ditanya adakah pendekatan tersebut dibincangkan bersama dalam Pakatan Rakyat, Nasharuddin berkata, setakat ini ia hanya dibincangkan dalam PAS.

Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Nasharuddin yang juga Ahli Parliemn Bachok berkata, setiap kali PAS bertanding dalam pilihan raya parti itu punya hasrat untuk menang.

“Kalau kita nak bertanding sudah pasti kita nak menang, kalau nak kalah buat apa kita nak bertanding,” katanya.

Mengenai berapa kerusi akan ditandingi oleh PAS dalam pilihan raya kecil Sarawak, Nasharuddin berkata, parti itu masih belum menetapkan sasaran mengenai perkara tersebut.

“Di peringkat awal ini kita hanya merangka strategi dan pendekatan baru yang akan digunakan nanti. Ini kerana kita tidak tahu bila pilihan raya itu akan berlangsung,” katanya.

Sementara itu dalam ucapan perasmiannya, Nasharuddin melahirkan rasa syukurnya kerana Dewan Muslimat sudah melebarkan hubungan dua hala dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di luar lingkungan PAS.

“Ini membuktikan bahawa pintu pengembangan dakwah semakin meluas dan diyakini oleh masyarakat.

“Apabila hati rakyat telah ditawan dengan segala kebaikan yang telah dicurahkan maka kita mampu untuk menggerakkan ke arah matlamat yang telah kita gariskan,” katanya.

Oleh yang demikian beliau menyeru Dewan Muslimat membuat persiapan dan perancangan yang jitu mulai sekarang.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan