Ahli Majlis PKR boikot majlis pelantikan YDP baru MPSP

Diterbitkan: Khamis, 4 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BUKIT MERTAJAM: Sekumpulan Ahli Majlis daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini memulaukan majlis pelantikan Yang Dipertua baru Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dari kalangan penjawat awam, kerana membantah tindakan kerajaan negeri yang dikatakan tidak berunding dengan parti itu berhubung pelantikan itu.

Ketua Wip MPSP, Johari Kassim berkata, lapan daripada sembilan ahli majlis dari parti berkenaan tidak memasuki Dewan Kenanga di bangunan MPSP, iaitu tempat berlangsungnya majlis angkat sumpah jawatan YDP yang baru Mokhtar Mohd Jait pagi ini kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Ketua Menteri, Lim Guan Eng kerana tidak berunding dengan PKR mengenai pelantikan itu.

Ketika dihubungi BERNAMA, beliau berkata, setahunya, Lim tidak memanggil PKR dan PAS untuk berunding walaupun sebelum ini telah ada persetujuan di peringkat kepimpinan parti gabungan itu bahawa pelantikan YDP MPSP perlulah dibuat di kalangan pemimpin politik dan jawatan itu diserahkan kepada PKR.

Beliau mendakwa, pengumuman yang dibuat oleh Timbalan Ketua Menteri 1 yang baru, Mansor Othman semalam mengenai pelantikan Mokhtar merupakan satu "helah" Lim untuk melepaskan diri daripada persetujuan awal yang dicapai sebelum ini.

"Ini permainan politik Lim dan keputusan mengenai pelantikan itu telah dibuat sebulan yang lalu dan sebaik menjawat jawatan sebagai TKM1 semalam, Mansor diminta mengumumkan keputusan berkenaan. Ia seolah-olah satu perangkap kepada Mansor dan PKR,"dakwanya.

MPSP mempunyai 24 ahli majlis dan daripada jumlah itu, 10 diwakili pemimpin DAP, sembilan PKR, dua Pas dan tiga daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pada majlis angkat sumpah jawatan Mokhtar hari ini, hanya 14 ahli majlis sahaja yang hadir dan kebanyakan tempat duduk ahli majlis kosong.

Daripada jumlah itu seorang sahaja ahli majlis dari PKR, Farid Arshad yang hadir pada majlis itu.

Johari, yang merupakan Anggota Jawatankuasa Perhubungan PKR Pulau Pinang berkata, pada peringkat awal dahulu, PKR mencadangkan Mansor sebagai YDP MPSP tetapi berikutan peletakan jawatan Mohammad Fairus Khairuddin sebagai TKM1 dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Mansor mengambil alih jawatan TKM 1 selepas mememangi DUN Penanti 31 Mei lalu.

Katanya, beliau berani bertanggungjawab terhadap perbuatan dan kenyataannya itu dan menyerahkan kepada parti untuk menentukan kedudukannya sebagai Ahli Majlis selepas ini.

Sementara itu, Lim dalam sidang akhbarnya selepas menyaksikan majlis angkat sumpah jawatan Mokhtar di sini berkata, keputusan pelantikan Mokhtar telah dipersetujui oleh exco kerajaan negeri dan meminta ahli majlis berkenaan supaya tidak berlagak seperti exco.

"Ini keputusan exco dan pelantikan itu telah diumumkan oleh TKM1 semalam. Mansor yang umumkan perkara ini, macam mana ada masalah pula. Saya minta Mansor selesaikan perkara ini secara dalaman tetapi kerajaan negeri telah menyokong pelantikan Mokhtar. Biar Mansor yang uruskan perkara ini," katanya mengelak daripada menjawab pertanyaan wartawan.

Sementara itu, Mansor yang turut hadir pada sidang akhbar berkenaan berkata, beliau akan merujuk perkara itu kepada Pengerusi Perhubungan PKR Negeri, Datuk Zahrain Mohamed Hashim supaya siasatan lanjut dapat diadakan.

"Saya nampak juga ada kekosongan (tempat duduk) dan ada beberapa ahli majlis daripada PKR yang tidak hadir. Saya akan hubungi Pengerusi PKR Negeri untuk minta dia siasat," jawabnya ringkas.

Bagaimanapun, Zahrain gagal dihubungi untuk penjelasan lanjut.

Anggota Parlimen Jelutong, Jeff Ooi dalam kenyataannya hari ini mahu ahli majlis dari PKR yang membantah pelantikan itu supaya meletakkan jawatan kerana soal pelantikan itu adalah kuasa kerajaan negeri.

Bercakap kepada pemberita, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Chow Kon Yeow berkata sebelum ini majlis kepimpinan tertinggi pakatan pembangkang ada berbincang mengenai pelantikan ahli politik sebagai YDP.

Bagaimanapun, disebabkan tiada keputusan dibuat, kerajaan negeri memutuskan melantik Mokhtar, bekas Pegawai Daerah Seberang Perai Utara, sebagai YDP MPSP. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan