Caj perjalanan teksi naik 30 peratus?

Diterbitkan: Selasa, 2 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) mencadangkan kenaikan tambang pengangkutan awam termasuk 30 peratus kenaikan caj perjalanan teksi dalam semakan kadar tambang yang kemukakannya kepada kerajaan bagi meningkatkan mutu pengangkutan awam di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata LPKP mencadangkan caj perjalanan teksi bagi setiap 150 meter dinaikkan daripada 10 sen kepada 13 sen, sementara kadar tambang permulaannya pula ditambah daripada RM2 kepada RM3.

Sementara itu, kadar bayaran bagi meter teksi juga dinaikkan daripada 10 sen untuk 45 saat kepada 13 sen untuk 27 saat, katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi dialog dengan pemandu dan pengusaha teksi dan kereta sewa Lembah Klang di sebuah hotel di sini hari ini.

Beliau berkata bagaimana keputusan muktamad akan diputuskan Kabinet tidak lama lagi. Hadir sama Pengerusi LPKP Datuk Markiman Kobiran.

Menyentuh mengenai kadar tambang bas, Mohamed Nazri berkata kadar tambang baru itu akan membolehkan operator pengangkutan awam mendapat keuntungan optimum untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan tanpa membebankan penumpang.

LPKP dalam laporan itu juga turut mencadangkan supaya semakan tambang dilakukan setiap tiga tahun sekali bagi mengatasi kelemahan semakan tambang sebelum ini yang tidak berkala (berjadual).

Kali terakhir kadar tambang teksi dan bas disemak ialah pada 2005.

Mohamed Nazri turut mencadangkan untuk jangka panjang sekolah latihan pengangkutan awam diwujudkan bagi melatih pemandu bas dan teksi supaya memandu lebih berhemah dan dapat meningkatkan kualiti pengangkutan awam.

Selain itu, dengan adanya sekolah ini kerajaan dapat memantau pemandu bas dan teksi melalui pangkalan data pemandu yang akan diwujudkan menerusi sekolah latihan itu, katanya.

Bagi menyelesaikan masalah pemandu tidak mengikut peraturan jalan raya bagi jangka pendek, Mohamed Nazri mencadangkan denda RM300 dikenakan kepada pemandu atau syarikat pengusaha bas dan teksi yang terbabit untuk setiap kesalahan yang mereka lakukan berbanding pada masa ini tindakan yang diambil adalah hanya menarik permit atau lesen memandu kenderaan awam. "Jika buat salah lebih tiga kali, baru kita tarik balik permit atau lesen pemandu terbabit," katanya.

Sementara itu, Mohamed Nazri pada satu acara lain berkata kerajaan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menyelaraskan laluan bas di Kuala Lumpur dan kawasan-kawasan berdekatan supaya satu laluan dikhaskan untuk satu syarikat sahaja.

Beliau berkata langkah ini bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di ibu kota akibat tindakan pemandu bas memberhentikan bas terlalu lama di tepi jalan untuk mengumpul penumpang.

"Saya akan panggil semua pengusaha-pengusaha bas dan berbincang dengan mereka seawalnya minggu depan. Saya kena yakin mereka tentang kepentingan mengikut jadual mereka dan bas-bas mereka tidak sepatutnya menunggu di hentian bas," katanya kepada pemberita selepas melawat hentian bas Jalan Silang berdekatan Mydin Kotaraya, Bangkok Bank dan hentian bas Kelang di sini, hari ini. Mohamed Nazri berkata tindakan itu juga akan memudahkan pihak berkuasa mengenalpasti syarikat yang bersalah memberhentikan bas, di samping mengelakkan berlakunya persaingan.

"Untuk perkhidmatan awam, persaingan adalah tidak sihat. Mereka yang mengikut jadual akan berasa rugi sebab syarikat lain untung lebih banyak," katanya.

Mohamed Nazri berkata beliau juga mengesyaki bahawa ada syarikat yang memajak permit bas mereka kepada individu tertentu.

"Mereka membayar secara harian, jadi mereka yang memajak bas akan berusaha untuk mendapatkan penumpang sebanyak yang mungkin," katanya.

Mohamed Nazri berkata buat masa sekarang beliau meminta pihak polis dan pegawai penguatkuasa DBKL supaya bertindak tegas terhadap bas-bas yang berhenti terlalu lama.

Beliau juga berkata DBKL akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua bulan untuk menentukan laluan bagi setiap syarikat bas. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan