Jet Air France hilang bersama 228 orang, dipercayai dipanah kilat

Diterbitkan: Isnin, 1 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SAO PAULO (Brazil): Sebuah jet Air France yang membawa 228 orang dari Rio de Janeiro ke Paris hilang selepas dipercayai menempuh kilat dan ribut petir kuat semasa melalui Lautan Atlantik.

Pihak berkuasa Brazil dengan segera telah memulakan gerakan mencari di kawasan timur laut pantai itu.

Perhubungan dengan pesawat itu terputus kira-kira pukul 10.20 malam waktu tempatan (10.20 pagi waktu Malaysia).

Jurucakap Ketua Air France, Francois Brousse berkata, pesawat itu kemungkian telah dipanah kilat.

Menurut jurucakap syarikat, Brigitte Barrand, pesawat Air France 447 iaitu Airbus A330 yang membawa 216 penumpang dan 12 anak kapal meninggalkan Rio kira-kira pukul 7 malam waktu tempatan.

Kira-kira empat jam kemudian, pesawat itu menghantar signal automatik menandakan ia menghadapi masalah elektrik ketika melalui gelora yang kuat, kata jurucakap tersebut.

Pesawat itu "melalui kawasan ribut petir dengan gelora yang kuat" kira-kira pukul 10 malam. Pesanan automatik diterima 14 minit kemudian "menandakan litar elektrik tidak berfungsi".

Tentera Udara Brazil berkata, perhubungan terakhir dengan pesawat itu adalah pada pukul 10.36 malam waktu tempatan, tetapi tidak memberitahu di mana kedudukan pesawat itu ketika itu.

Pesawat itu hilang kira-kira 186 batu (300 km) timur laut pantai bandaraya Natal, berdekatan kepulauan Fernando de Noronha, menurut jurucakap tentera udara.

Tentera udara Brazil berkata, gerakan mencari bermula pagi Isnin berdekatan Fernando de Noronha.

Barrand berkata, syarikat penerbangan telah membuka sebuah pusat maklumat di lapangan terbang Charles de Gaulle Paris bagi keluarga penumpang-penumpang pesawat tersebut mendapatkan maklumat.

"Air France dengan dukacitanya memberitahu yang tidak ada sebarang berita dari pesawat Air France 447 yang terbang daripada Rio ke Paris," katanya.

"Air France memahami perasaan dan kebimbangan keluarga yang terlibat."

Pesawat tersebut dijadualkan tiba di Paris pada 5.15 pagi waktu tempatan.

Airbus bagaimanapun enggan memberi sebarang komen sehingga mendapat maklumat lanjut.

Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy melahirkan kebimbangannya atas kejadian itu dan menghantar menteri muda pengangkutan negara itu, Dominique Bussereau dan Menteri Alam Sekitar, Jean-Louis Borloo ke lapangan terbang Charles de Gaulle Paris bagi memantau keadaan.

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan