DOSH mula siasat bangunan runtuh - Berita Semasa | mStar

DOSH mula siasat bangunan runtuh

Diterbitkan: Isnin, 1 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Selangor (DOSH) hari ini mula menyiasat punca bangunan Jaya Supermarket di Seksyen 14 Petaling Jaya yang sedang diroboh, runtuh Khamis lalu.

Pengarahnya, Amir Yahya berkata pihaknya akan melantik pakar untuk membantu jawatankuasa siasatan mereka menentukan punca sebenar keruntuhan berlaku, sehingga mengorbankan tujuh orang pekerja warga Indonesia.

"Namun siasatan akan mengambil sedikit masa kerana ia perlu dilakukan dari pelbagai sudut. Ia akan turut meneliti jentera yang digunakan dalam kerja-kerja meroboh bangunan itu," katanya kepada Bernama.

Amir berkata DOSH telah mengarahkan pihak kontraktor menghentikan kerja-kerja meroboh.

Majlis Bandaraya Petaling Jaya turut mengarahkan perkara yang sama selepas kejadian berlaku.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, A. Balasubramaniam berharap pihak kontraktor terbabit memberi pampasan kepada keluarga pekerja yang terkorban. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan