Penubuhan jawatankuasa siasat bangunan runtuh diputuskan Kabinet - Kong

Diterbitkan: Ahad, 31 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Kong Cho Ha hari ini berkata penubuhan jawatankuasa bagi menyiasat kejadian runtuhan bangunan Jaya Supermarket di Petaling Jaya Khamis lepas yang mengorbankan tujuh pekerja akan diputuskan oleh Kabinet.

Beliau berkata perkara itu perlu diputuskan oleh Kabinet kerana ia melibatkan banyak kementerian dan jabatan.

Laporan operasi dan menyelamat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat mengenai runtuhan itu akan dibentangkan kepada Kabinet minggu depan, katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Topi Keledar Kanakkanak di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Dosh) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) akan turut menjalankan siasatan terhadap kejadian runtuhan itu.

Mengenai kempen itu, beliau berkata program sehari itu bertujuan mendedahkan aspek keselamatan di jalan raya kepada pelajar iaitu cara melintas jalan raya dengan betul dan selamat, lampu isyarat, mengenali papan tanda amaran keselamatan lalu lintas dan cara pemakaian topi keledar yang betul.

"Ini kerana 60 peratus kemalangan yang direkodkan di negara ini melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal," katanya.

Pada program itu, sebanyak 500 unit topi keledar diedarkan kepada pelajar dari 10 buah sekolah di sini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Eksekutif Resorts World, Tan Sri Alwi Jantan, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Datuk Suret Singh dan Pengerusi Kelab Marshal Keselamatan Jalan Raya, Kapten K. Balasupramania. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan