Terlebih berat dipercayai punca bangunan runtuh

Diterbitkan: Jumaat, 29 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Siasatan awal mendapati bangunan yang pernah menempatkan pasar raya Jaya Supermarket di Seksyen 14 di sini yang runtuh petang Jumaat berpunca dari lebihan muatan jentera berat yang digunakan bagi kerja-kerja merobohkan bangunan itu, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Penglima Lajim Ukim.

Beliau yang ditemui di lokasi kejadian berkata terdapat lapan jentera berat yang diletakkan di atas bangunan yang akan dirobohkan itu ketika kejadian.

"Siasatan juga tidak menolak kemungkinan terdapat lebih banyak lagi jentera berat yang ditempatkan di dalam bangunan itu," katanya.

Lajim berkata terdapat syarat-syarat tertentu yang perlu dipatuhi untuk menempatkan jentera berat bagi tujuan merobohkan bangunan.

Katanya pihak bomba serta kontraktor sedang menyiasat punca sebenar kemalangan itu.

Sehingga 10 malam tadi, seorang dari sembilan pekerja yang terperangkap dalam kejadian bangunan runtuh itu mati.

Dua lagi telah dikeluarkan dari tapak runtuhan manakala enam lagi masih terperangkap.

Lajim, yang tiba di lokasi kejadian sejak pukul 9.30 malam, berkata beliau telah meninjau dengan jelas struktur bangunan yang runtuh itu dengan menaiki skylift bomba setinggi 100 meter.

"Sekarang bomba menggunakan kaedah anjing pengesan dan "searching camera" untuk mencari mangsa yang terperangkap," katanya.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor yang turut melawat tapak kemalangan berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) akan membantu dengan menyediakan jentera yang diperlukan bagi kerja-kerja mencari dan menyelamat.

Katanya walaupun bangunan tersebut adalah milik swasta, namun JKR Selangor akan tetap menghulurkan bantuan termasuk mencari punca sebenar kejadian.

"JKR mempunyai pasukan forensik untuk melakukan kerja-kerja penyiasatan punca kejadian yang boleh membantu sekiranya diperlukan," katanya yang turut membuat tinjuan di tapak kejadian.

Shaziman berkata kejadian itu boleh dijadikan iktibar untuk bangunan-bangunan lain yang ingin diruntuhkan.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bekata Majlis Tindakan Ekonomi Selangor akan bermesyuarat bersama Datuk Bandar Petaling Jaya dan pihak jurutera esok untuk mendapatkan maklumat lebih mengenai kejadian runtuhan tersebut.

"Sekarang kita tumpukan kepada operasi mencari mangsa," katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan kejadian malam tadi. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan