Mangsa dengar bunyi seperti gerudi sebelum bangunan runtuh

Diterbitkan: Jumaat, 29 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Salah seorang pekerja binaan warga Indonesia yang terselamat dalam kejadian bangunan runtuh di Jalan 14/20 di sini petang semalam berkata dia mendengar bunyi seperti gerudi dari tingkat paling atas sebelum kejadian itu berlaku.

"Tiba-tiba sahaja bangunan itu runtuh dan kaki saya ditimpa runtuhan konkrit dan tidak dapat digerakkan, namun saya cuba juga untuk menggerakkan diri sedikit demi sedikit," kata Sale, 48, kepada pemberita semasa ditemui di Wad Kecemasan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini malam tadi.

Sale, dari Jawa Timur, yang baru bekerja di projek tersebut sejak empat hari lepas, masih dalam keadaan trauma dan terpingapinga selepas terperangkap di bawah runtuhan konkrit selama lebih kurang satu jam sebelum diselamatkan anggota bomba.

Isterinya Mina Nor Dewi, 27, yang berada di sisinya terpaksa menjadi pengantara antara wartawan dan Sale kerana keadaannya yang masih trauma itu.

Bapa kepada empat anak yang masih kecil itu berkata semasa terperangkap dalam runtuhan yang berlaku kira-kira 5 petang tadi, dia sedang bekerja di tingkat bawah bangunan empat tingkat itu.

Sale berkata dalam usahanya mengesot untuk keluar tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi dengan tiba-tiba, dan dia yang menjawabnya pada deringan kali kedua mendapati isterinya menelefon sebaik sahaja mendapat tahu bangunan tempat dia bekerja itu runtuh.

Dia terus memaklumkan kepada isterinya bahawa dia terperangkap dalam runtuhan bangunan itu, yang pernah menempatkan pasar raya Jaya Supermarket, dan sebaik memberitahu isterinya mengenai kejadian dirinya, pasukan keselamatan telah datang untuk menyelamatkannya.

Katanya masih ramai yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan itu termasuk tiga orang pekerja yang bersamasamanya semasa kejadian itu berlaku, tetapi dia tidak mengenali mereka kerana masih belum sempat berkenalan.

Sale patah kaki kanannya dan retak lengan kanannya selain calar dan lebam di bawah bibir. -BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan