Rosmah minta ibu bapa alami tekanan dapatkan khidmat kaunseling

Diterbitkan: Khamis, 28 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BANGI: Ibu bapa atau penjaga yang tidak berupaya mengawal rasa marah atau tekanan yang dihadapi perlu meminta bantuan pakar atau khidmat kaunseling, kata isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau berkata ketidakupayaan mengawal rasa marah atau tekanan yang membelenggu diri adalah antara penyakit psikologi yang memerlukan perhatian serius daripada pakar-pakar bertauliah.

Katanya keengganan mendapatkan bantuan hanya akan membawa kepada implikasi yang lebih buruk iaitu penderaan ke atas kanak-kanak yang tidak berdosa.

"Penderaan ke atas kanak-kanak tidak seharusnya berlaku. Bagaimana kita sebagai ibu yang melahirkan mereka ke dunia ini sanggup memukul, mendera mereka.

"Mungkin mereka yang melakukannya mengalami tekanan yang sangat hebat, tetapi ia bukan alasan untuk melakukan perbuatan itu," katanya dalam sidang akhbar selepas program bual bicara Permata Pintar Negara di Universiti Kebangsaan Malaysia, di sini hari ini.

Rosmah mengulas mengenai laporan akhbar hari ini mengenai tindakan kejam seorang ibu yang mendera anak lelakinya yang berusia lima tahun.

Menurut laporan berkenaan, wanita yang betugas sebagai seorang guru piano tersebut sedang berdepan dengan proses perceraian, sekaligus menyebabkan dia berada dalam tekanan.

Menurut Rosmah, terdapat pelbagai cara yang boleh diguna pakai untuk menenangkan diri tanpa perlu menggunakan kekerasan sebagai saluran untuk melepaskan tekanan.

"Jika kita marah dan takut tidak dapat mengawal diri, ada baiknya kita `melarikan diri', pergi ke bahagian lain di dalam rumah, berzikir atau bersolat agar mampu menenangkan semula perasaan sebelum berdepan semula dengan anak-anak.

"Jangan lepaskan kemarahan kita menerusi kekerasan. Apabila berlaku sesuatu yang buruk terhadap anak-anak, kita juga yang akan susah. Dapatkan bantuan sekiranya kita gagal membendung diri daripada menggunakan kekerasan," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu bahawa program Perkhemahan Cuti Sekolah Permata Pintar yang akan dilaksanakan Disember tahun ini merupakan medium untuk kanak-kanak pintar mengenal pasti kebolehan diri masing-masing.

Katanya peserta program perkhemahan itu akan didedahkan dengan pelbagai kursus dan aktiviti yang berupaya meransang kemampuan mereka untuk berfikir dengan lebih kreatif dan inovatif.

"Isi kandungan kursus ini akan menggunakan pelbagai kaedah pengajaran. Selain dari kaedah perbincangan, pelajar juga akan turut serta dalam menjalankan eksperimen, mengikuti ekspedisi alam semula jadi di luar bilik kuliah serta melibatkan diri dalam seni dan penulisan kreatif," katanya.

Program tersebut yang terhad kepada 300 peserta akan diadakan di UKM dengan kerjasama Universiti John Hopkins, Amerika Syarikat. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan